Sunday, April 19, 2009

Maut selepas dibelasah abang ipar

KOTA BHARU: Akibat dibelasah abang ipar menggunakan batang cangkul, seorang mekanik berusia 24 tahun menemui ajal selepas dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dua hari lalu.

Mangsa yang dimasukkan ke wad kecemasan HUSM, kelmarin, tidak sedarkan diri selepas mengalami pelbagai simptom, termasuk muntah-muntah dan sakit di bahagian badannya.

Dia yang dirawat di hospital terbabit kemudian disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.40 malam kelmarin sebelum mayatnya dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menjalani bedah siasat.

Difahamkan, kejadian itu dipercayai berpunca daripada sikap tidak puas hati abang ipar mangsa dengan tindakan arwah yang didakwa sering memarahi anak saudaranya selain gemar menyepak kaki.

Tindakan itu dilakukan abang ipar mangsa selepas menerima aduan berhubung perbuatan adik iparnya oleh anaknya, selain aduan sama turut dimaklumkan isterinya yang juga kakak mangsa.

Pemangku Ketua Polis Tumpat, Deputi Superintendan Othman Nanyan, berkata kejadian itu disedari bapa mangsa sejurus dimaklumkan mengenai perkara itu pada jam 5.30 petang, 10 Mac lalu.

“Kejadian itu disedari bapa mangsa ketika pulang ke rumah. Dia yang tidak sedap hati dengan keadaan anaknya segera mendapat penjelasan sebelum diberitahu perbuatan itu angkara menantunya.

“Mangsa mendakwa dipukul abang iparnya dengan kayu batang cangkul di bahagian kaki sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Wakaf Baru hari sama,” katanya ketika dihubungi di pejabatnya di sini, semalam.

Othman berkata, berikutan kejadian itu, mangsa sekali lagi mengadu mengalami kesakitan dan muntah-muntah sebelum dirujuk ke HUSM untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa kemudian tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke wad kecemasan pada 16 April lalu dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya,” katanya.

Menurutnya, berhubung kejadian itu, polis kini menjalankan siasatan dan menahan reman seorang lelaki berusia 30 tahun kerana dipercayai terbabit dalam kes berkenaan

0 comments: