Sunday, April 19, 2009

Ketagih Datin jutawan

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Ketagih dibelai Datin yang menyimpannya menyebabkan seorang lelaki tampan sanggup membelasah suami wanita terbabit apabila hubungan sulit mereka terbongkar.

Kejadian itu berlaku apabila Datin berstatus jutawan berkenaan dipercayai memberitahu gigolo terbabit mengenai amaran diberikan suaminya berusia awal 50-an itu.

Bukan itu saja, tindakan ganas lelaki terbabit menyebabkan mangsa yang juga seorang kakitangan pengurusan bergelar Datuk di sebuah syarikat swasta cedera dan dirawat beberapa hari di sebuah pusat perubatan, baru-baru ini.

Suami Datin terbabit yang menghidu kegiatan isterinya membela gigolo 30-an itu memberi amaran supaya hubungan terlarang itu ditamatkan.

Lelaki itu dipercayai mengamalkan ilmu hitam bagi memerangkap Datin terbabit apabila isterinya menemui pelbagai tangkal dan ubat kuat seks termasuk minyak ular tedung dalam simpanannya.

Wartawan Harian Metro mendapat maklumat mengenai kegiatan lelaki terbabit melalui pendedahan isterinya yang mahu dikenali sebagai Khadijah, 30-an.

Menurut Khadijah, dia menyedari suaminya gemar menonton video lucah sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, keadaan bertambah teruk apabila suami mula melakukan aksi lucah di rumah tanpa menyedari perbuatan itu dilihat anak perempuan yang semakin takut mendekati bapa sendiri.

“Walaupun suami gemar menggunakan ubat kuat seks termasuk minyak ular tedung, tetapi apa yang pelik, tubuh saya langsung tidak disentuh lebih setahun.

“Sebaik menyedari sikap pelik suami, saya menjalankan siasatan dan mendapati suami menggunakan ilmu hitam untuk memikat wanita.

“Ia terbongkar apabila saya menemui bukan saja ubat kuat, tapi tangkal penguat alat sulit lelaki dalam simpanan suami menyebabkan curiga dan mahu membongkar rahsia yang cuba disembunyikannya,” katanya yang juga seorang kakitangan eksekutif di sebuah universiti di sini.

Bagi membongkar kegiatan suami, Khadijah yang lebih 13 tahun mendirikan rumah tangga, berkata dia mengupah penyiasat persendirian bagi mengesan aktiviti harian suami termasuk mengenal pasti wanita yang menjadikan suaminya sebagai ‘alat permainan’.

Biarpun suami seorang yang warak dan tidak meninggalkan solat lima waktu, pembongkaran kegiatan tidak bermoral suaminya itu mengejutkan.

“Hasilnya, saya mendapati suami menjalinkan hubung sulit dengan seorang Datin kaya dan boleh dikategorikan sebagai jutawan.

“Selain menginap di kawasan elit, Datin terbabit mempunyai beberapa kenderaan mewah termasuk BMW dan Mercedes bercermin gelap bagi memudahkan mereka keluar dan masuk hotel tanpa disedari kenalan,” katanya yang sudah memfailkan tuntutan fasakh di mahkamah syariah sejak beberapa bulan lalu.

Khadijah berkata, hubungan intim pasangan itu semakin hangat apabila suami Datin berkenaan menghidu hubungan sulit mereka yang kerap melepaskan nafsu di hotel terkenal di sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun, bagi mempertahankan hubungan itu, lelaki terbabit pernah membelasah suami Datin berkenaan sehingga terpaksa dirawat di sebuah pusat perubatan.

Menyedari tindakan ganas suaminya, kata Khadijah, Datuk terbabit terpaksa merelakan isterinya menjalin hubungan sulit walaupun kedua-duanya masih tinggal sebumbung.

“Rentetan cerita berkenaan, saya mula mengesyaki semua ubat dan tangkal yang ditemui dalam simpanan suami bertujuan menguatkan alat sulit untuk memberikan layanan seks terhadap Datin itu,” katanya yang mempunyai lima anak berusia tujuh hingga 14 tahun.

Kemuncak kegiatan suami terbongkar apabila Khadijah memberikan bukti hasil siasatannya kepada suami.

Bagaimanapun, suaminya menafikan semua bukti itu walaupun dia cuba mendapatkan penjelasan termasuk penggunaan tangkal bagi menguatkan kemaluan lelaki dan hubungan sulit dengan Datin terbabit.

“Saya menunjukkan tangkal yang saya temui selain bukti hubungan suami dengan Datin itu menyebabkan dia tidak keruan sebelum menumbuk menyebabkan hidung saya berdarah.

“Bagi mengelak kejadian buruk, saya mendapatkan rawatan di hospital sebelum membuat laporan polis dan meninggalkan rumah sehingga sekarang,” katanya yang kini menetap buat sementara di rumah ibu bapa, sejak beberapa bulan lalu.

Kini, lebih dibimbangkan, Khadijah berkata, seorang anak perempuan berusia 12 tahun tinggal bersama suami.

Malah, dia sudah lebih enam bulan tidak dapat berhubung dengan anak perempuannya itu selepas suami memindahkannya ke sekolah lain.

“Apabila memikirkan sikap dan penyakit ‘gila seks’ suami menyebabkan hati saya luluh untuk mendapatkan segera anak saya dengan menggunakan mahkamah.

“Walaupun cuba melakukan pelbagai cara bagi mendapatkan anak secepat mungkin, prosedur mahkamah menyebabkan kes sering tertangguh,” katanya yang sudah membelanjakan lebih RM10,000 bagi membawa kes tuntutan fasakh dan tuntutan anak ke mahkamah.

Tanpa berselindung mahu kes itu diselesaikan segera, Khadijah berkata, dia sering menitiskan air mata apabila memikirkan nasib anak perempuannya itu yang tinggal bersama suami.

0 comments: