Saturday, April 25, 2009

Kutip derma sambil mencabul

Oleh SITI FATIMAH HASSAN
sfhassan@hmetro.com.my


KOTA BHARU: Seorang bapa tidak menyangka niat baiknya menghulurkan sumbangan dan minuman kepada seorang warga Pakistan membawa padah apabila kesempatan itu digunakan untuk mencabul anaknya yang kurang upaya (OKU).

Bagaimanapun, lelaki itu yang cuba melarikan diri berjaya ditahan dan dibelasah penduduk Kampung Kubang Palas, dekat sini, sebelum diserahkan kepada polis.

Bapa mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin apabila dia didatangi seorang lelaki berusia 55 tahun yang ingin mengutip derma serta menawarkan barangan perhiasan.

“Mula-mula dia datang dengan niat mengutip derma tetapi meminta RM15 sambil menawarkan barangan perhiasan. Sambil berkopiah dan berzikir, dia yang memberitahu tidak pandai berbahasa Melayu kemudian meminta segelas air.

Saya memberinya RM20 dan menyuruhnya masuk ke rumah. Kebetulan anak perempuan saya berusia 31 tahun yang cacat sejak kecil akibat demam panas duduk di tepi dinding.

“Apabila melihat keadaan anak saya, dia memanggil anak saya duduk di kerusi di depannya. Anak kemudian berdiri di depannya dalam keadaan membelakangi saya. Saya tidak mengesyaki apa-apa dan kerana nampak dia seperti mengurut memandangkan sebelum ini memang ramai orang menawarkan diri membantu anak saya yang bongkok,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dia berkata, perbuatan lelaki berkenaan terbongkar apabila anaknya menceritakan kejadian cabul itu kepada isterinya, Azizah Abas, 51.

“Anak saya menceritakan kepada isteri perbuatan lelaki Pakistan itu yang bukan mengurut tetapi bertindak meraba dan menghisap buah dadanya,” katanya.

Menurutnya, atas pertolongan jiran, lelaki yang cuba melarikan diri itu kemudian berjaya dikesan dan tahan.

Sejurus selepas kejadian, keluarga mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Othman Nayan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, polis membuat tangkapan selepas mendapat aduan daripada mangsa dan kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

0 comments: