Wednesday, April 22, 2009

Eksekutif disamun guna penyembur serangga

KUALA LUMPUR: Dengan menggunakan penyembur serangga, seorang eksekutif kerugian RM5,000 apabila disamun seorang lelaki di bilik hotelnya di Cheras di sini, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an terserempak dengan suspek di tempat letak kereta hotel berkenaan.

“Ketika mangsa tiba di tempat letak kereta hotel, dia didatangi suspek yang bertanyakan nombor biliknya.

“Tanpa berasa curiga, mangsa memberitahu menginap di tingkat dua hotel itu,” katanya, semalam.Menurutnya, selang 15 minit, pintu bilik hotel mangsa diketuk dan ketika dibuka, suspek terus mengunci pintu dan menyerang mangsa menggunakan pemutar skru dan penyembur serangga.

“Berlaku pergelutan antara mereka kerana suspek ingin melarikan kunci kereta menyebabkan mangsa cedera di muka dan lengan.

“Suspek melarikan diri selepas menyamun wang tunai, telefon bimbit dan kereta Proton Savvy namun hasil bantuan orang ramai, kereta itu dijumpai semula di sekitar hotel itu kira-kira setengah jam kemudian.

“Bagaimanapun, suspek dapat melarikan diri dan polis kini sedang memburu lelaki itu yang identitinya sudah dikenal pasti,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, lima anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Sentul yang melakukan Ops Bersepadu di Jalan Prima, Kepong, Ahad lalu menahan seorang lelaki berusia 21 tahun kerana memandu dalam keadaan mencurigakan.

Hasil siasatan ke atas kereta jenis Proton Satria miliknya, polis menemui 28 keping kad Touch N Go serta dua pasport Indonesia.

“Sewaktu ditahan, lelaki yang mendakwa berasal dari Sungai Buloh, Selangor itu gagal menunjukkan identiti diri dan memberi penjelasan berhubung penemuan barangan itu,” katanya.

Sumber Harian Metro

0 comments: