Sunday, April 19, 2009

Nenek gabra

Oleh Sarah Zulkifli dan Salman Hamat
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang nenek nyaris ‘papa’ apabila diarah memindahkan RM50,000 ke sebuah akaun tidak dikenali untuk membayar duit tebusan bagi membebaskan anak saudara lelaki kononnya diculik satu sindiket antarabangsa.

Mangsa yang terpedaya dikatakan memindahkan RM8,000 ke akaun dipercayai beralamat di Hong Kong itu selepas menerima ‘panggilan hantu’ daripada seorang lelaki misteri mendakwa menculik anak saudaranya pada jam 10 pagi, Jumaat lalu.

Ketika kejadian, mangsa sedang berehat di rumahnya di Setapak di sini mula cemas apabila terdengar suara tangisan dan meminta tolong kanak-kanak yang disangka anak saudaranya yang ditahan sindiket berkenaan.

Keadaan cemas itu menjadi semakin sukar apabila lelaki terbabit turut mengugut akan membunuh kanak-kanak terbabit dengan memotong kepala jika arahannya tidak dituruti.

Menurut wanita berusia 59 tahun yang enggan dikenali, selepas memindahkan wang tebusan ke akaun yang beralamat di Tsuent Wannt, Hong Kong, dia menerima satu lagi panggilan dipercayai daripada individu sama memaksanya memasukkan RM5,000 sebagai bayaran tambahan.

Tidak berpuas hati dengan hasil diperoleh, lelaki terbabit sekali lagi menghubungi mangsa dan kali ini menaikkan nilai wang tebusan hingga RM20,000 atau mangsa hanya akan melihat mayat anak saudaranya itu.

Katanya, lelaki itu turut mengeluarkan kata-kata kasar kepadanya ketika perbualan apabila memaksanya meminjam daripada orang lain untuk membayar wang tebusan.

Mangsa yang hilang arah serta tidak tahan dengan ugutan daripada lelaki itu meletakkan telefon.

Dia mengadukan hal itu pada adik lelakinya yang memberitahu kanak-kanak disangka hilang itu selamat dan dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya.

Mangsa yang tertipu dengan tindakan licik lelaki berkenaan membuat laporan polis.

0 comments: