Tuesday, April 7, 2009

Abang tagih aksi sumbang

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
Harian Metro



KUALA SELANGOR: Seorang gadis berusia 19 tahun tergamam dan sama sekali tidak menyangka abang kandung yang disayanginya tiba-tiba bertukar menjadi ‘abang setan’ apabila membuat permintaan luar biasa mengajaknya melakukan sumbang mahram.

Malah, mangsa terkedu apabila abang kandungnya meraba seluruh tubuhnya ketika gadis itu membonceng motosikal.

Sumber polis berkata, dalam kejadian Jumaat lalu, mangsa yang baru habis bekerja dijemput abangnya di pekan Kuala Selangor untuk pulang ke rumah mereka di Taman Permai, Jeram.

Menurutnya, suspek berusia awal 20-an membawa adiknya pulang dengan motosikal, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

“Namun, si abang memberi alasan mengantuk dan meminta adiknya menunggang, manakala dia membonceng.

“Sebaik bertukar tempat duduk, si abang bersandar pada belakang adiknya sebelum memeluk pinggang dan meraba bahagian sulit.

“Mangsa yang terkejut kemudian cuba menghalang, tetapi si abang dikatakan berdegil, malah menyuruh adiknya memberhentikan motosikal sebelum mengajaknya melakukan hubungan seks,” katanya.

Menurutnya, mangsa terkejut dengan perbuatan itu kemudian menampar muka sebelum memarahi abangnya.

“Bagaimanapun, lelaki itu dikatakan mengugut mahu mencederakan adiknya jika perbuatannya didedahkan kepada ahli keluarga.

“Mangsa menceritakan perbuatan buruk abangnya kepada tunangnya sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Susulan laporan itu, polis berusaha mengesan suspek yang dipercayai menyembunyikan diri selepas kejadian berkenaan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, sepasang suami isteri terkejut apabila anak perempuan mereka yang dihantar untuk dijaga pengasuhnya disyaki menjadi mangsa cabul.

Sumber polis berkata, kejadian itu hanya disedari ibu mangsa apabila mendapati pakaian anak perempuannya berusia lima tahun berlumuran darah.

Ibu mangsa yang berusia 31 tahun terkejut apabila mendapati seluar dalam anaknya mempunyai tompokan darah selain air kencing.

Wanita berkenaan yang tinggal di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, menunggu anaknya pulang dari rumah neneknya sebelum menyoalnya berulang kali.

“Bagaimanapun, sikap anaknya yang berdiam diri menyebabkan wanita berkenaan berang. Seorang saudara terdekat wanita itu mendedahkan apa yang berlaku selepas mangsa menceritakan kisah dialaminya.

“Mangsa mendakwa dipaksa melakukan seks oral selain dirogol anak lelaki pengasuh berusia 14 tahun,” katanya.

Menurutnya, ibu mangsa segera memaklumkan kejadian itu kepada suaminya yang bekerja di sebuah sekolah memandu sebelum membuat laporan polis.

“Susulan itu, polis menahan suspek yang bersekolah di tingkatan dua untuk siasatan lanjut,” katanya.

0 comments: