Friday, April 24, 2009

Habuan bapa,2 abang

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


GEORGETOWN: Sifat binatang seorang bapa dan dua anak lelakinya yang menjadikan anak perempuan dan adik sendiri sebagai hamba seks sejak empat tahun lalu, terbongkar selepas mangsa membuat aduan.

Mangsa berusia 13 tahun mendedahkan kegiatan sumbang mahram bapa dan dua abangnya itu, selepas membuat aduan pada guru kaunseling di sekolahnya selepas tidak tahan diperlakukan sejak berusia sembilan tahun.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner (SAC) II Wan Abdullah Tuanku Said, berkata perbuatan keji tiga beranak berhati syaitan itu berlaku di Kubang Semang, Bukit Mertajam, Seberang Prai Tengah (SPT) dan berlarutan sejak 2004.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, mangsa dirogol dan dicabul bapa serta dua abang kandung sejak dia masih di tahun tiga.

Katanya, siasatan juga mendapati mangsa bukan saja dirogol di dalam rumah mereka, malah dibawa ke belukar berhampiran untuk memuaskan nafsu serakah bapa dan dua abangnya itu.

“Ia berlarutan sejak empat tahun lalu sehingga mangsa yang sudah tidak tahan, membuat aduan kepada pihak sekolah yang serta-merta membuat laporan polis semalam (kelmarin),” katanya.

Berikutan laporan itu, polis menahan bapa mangsa berusia 42 tahun dan abang mangsa berusia 15 tahun pada hari sama untuk siasatan sebelum ditahan reman selama seminggu.

Katanya, polis masih memburu seorang lagi abang mangsa berusia 17 tahun yang melarikan diri selepas laporan polis dibuat.

Katanya, siasatan terhadap bapa mangsa dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu merogol yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan manakala abang mangsa disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu menyerang menggunakan kekerasan dengan niat mencabul.

Bagi Seksyen 354 sekiranya sabit kesalahan, seseorang itu boleh dipenjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman yang dijatuhkan.

0 comments: