Friday, June 19, 2009

Pasangan keparat

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud dan Nor Azmelia Azahari
am@hmetro.com.my


PORT DICKSON: Pasangan keparat. Itulah gelaran layak diberikan untuk sepasang kekasih apabila bertindak meragut seorang gadis dalam kejadian di Kilometer 15.3, Lebuhraya Seremban-Port Dickson, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, perbuatan durjana pasangan kekasih terbabit hampir meragut nyawa gadis malang berkenaan apabila motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan motosikal peragut menyebabkannya terjatuh.
Barang yang disamun hanyalah telefon bimbit, namun mereka sanggup memperjudikan nyawa mangsa semata-mata bagi mendapatkan wang dengan cara mudah.
Menceritakan kejadian itu, kerani sebuah syarikat insurans, Puteri Salbiah Yaacob, 23, berkata dia menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan dari arah Port Dickson menghala ke pusat bandar Seremban.
“Di tempat kejadian, datang motosikal dinaiki satu pasangan menghampiri saya daripada belakang.
“Lelaki yang menunggang motosikal itu cuba merampas telefon bimbit yang diletakkan dalam bakul motosikal,” katanya ketika ditemui di Klinik Pakar Hospital Port Dickson, semalam.
Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan motosikalnya bergesel dengan motosikal lelaki terbabit dan hilang kawalan.
Menurutnya, motosikanya terbalik menyebabkannya cedera di lutut dan kaki kanan lalu dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Peragut itu tidak berhenti selepas melihat saya jatuh daripada motosikal, sebaliknya memecut laju meninggalkan tempat kejadian.
“Saya bernasib baik apabila orang ramai yang prihatin berhenti dan menghulurkan bantuan sebelum menghubungi polis.

Puteri Salbiah berkata, peragut hanya sempat melarikan sebuah daripada dua telefon bimbit miliknya. Turut diletakkan dalam bakul motosikal itu beg duit mengandungi wang tunai dan dokumen penting lain.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Mazlan Othman, berkata sepasukan anggota polis dihantar ke tempat kejadian sebaik menerima laporan kejadian itu.
“Mangsa cedera di kaki dan calar di badan dihantar ke hospital mendapatkan rawatan.
“Hasil semakan polis ke atas nombor plat motosikal yang digunakan suspek mendapati ia palsu dan milik sebuah kereta,” katanya.
Beliau berkata, pihak polis kini melancarkan ‘Ops Rentap’ di beberapa lokasi dan taman perumahan bagi membendung kegiatan itu.

0 comments: