Tuesday, June 30, 2009

Padah tegur

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Hanya kerana menegur rakan serumahnya yang pengotor dan gemar membuang air basuhan pakaian di lantai, seorang pekerja warga Bangladesh dibelasah beramai-ramai hingga lembik.

Lebih malang apabila mangsa dirompak rakan serumahnya yang merampas dan melarikan wang RM2,000.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam Jumaat lalu, mangsa berusia 28 tahun dan bekerja sebagai buruh ladang dikatakan menegur tiga rakan serumahnya warga Myanmar yang bersikap pengotor.

Sumber polis berkata, mangsa tinggal serumah bersama tiga lelaki Myanmar di Jalan Pudu dikatakan menasihat rakannya itu kerana bimbang lantai rumah sewa itu menjadi licin.

“Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek naik angin dan memaki-hamun mangsa dengan pelbagai kata kesat.

“Seorang daripada suspek memaut tubuh mangsa sebelum rakan lain menumbuk muka dan tubuh mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa ditinju di mata dan muka dipukul berulang kali sehingga lembik serta rebah di lantai.

“Sebaik mangsa terbaring tidak sedarkan diri, seorang suspek mengambil pasport serta wang tunai dari poket seluar dan baju mangsa RM2,000.

“Mereka mengugut mangsa supaya tidak membuat laporan polis. Mangsa yang ditinggalkan kesakitan menghubungi rakannya sebelum mendapatkan rawatan di hospital berhampiran,” katanya.

Menurutnya, suspek bagaimanapun dikatakan memulangkan semula pasport mangsa keesokan harinya selepas meminta rakan mereka memulangkan dokumen berkenaan.

“Polis mendapati ketiga-tiga suspek sudah melarikan diri dan tidak pulang ke rumah sewa,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan, seorang remaja yang juga pembantu kedai permainan video tergamam apabila diacukan parang oleh seorang lelaki yang memasuki premisnya di Jalan Raja Laut, di sini.

Difahamkan, dalam kejadian jam 5 pagi itu, penjaga letak kenderaan berhampiran masuk ke dalam premis mesin video berkenaan sebelum mengacukan parang dan mengarahkan mangsa menyerahkan semua wang kutipan.

Mangsa berusia 19 tahun yang ketakutan menyerahkan wang kutipan mesin judi RM1,700 dan wang miliknya RM1,350.

0 comments: