Monday, July 13, 2009

Cucu dajal

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my


BENTONG: Dia cukup disayangi neneknya dan dijaga dengan penuh kasih sayang, namun cucu disangka baik selama ini tergamak melarikan pelbagai jenis barang kemas bernilai kira-kira RM5,000 milik warga emas berkenaan dalam kejadian di Kampung Jambu Rias, dekat sini, kelmarin.

Cucu berperangai iblis itu dipercayai mengambil kesempatan ketiadaan nenek dan datuknya di rumah untuk menyelongkar bilik wanita berkenaan sebelum melarikan barang kemas itu.

Perbuatan lelaki berusia 22 tahun itu terbongkar apabila neneknya yang menyedari kehilangan barang kemas berkenaan bertanya kepada cucunya kejadian itu, sebaliknya dia melarikan diri.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, mangsa berusia 74 tahun menyedari kehilangan semua barang kemas berkenaan sebaik tiba di rumah bersama suaminya.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman, berkata ketika kejadian, mangsa bersama suami tiada di rumah kerana berjumpa tukang urut di Telemong, dekat sini.


Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa menyedari kehilangan barang kemas itu ketika membuat pemeriksaan sebelum mengesyaki perbuatan berkenaan angkara cucunya yang berada di rumah.

Katanya, mangsa bertanyakan cucunya mengenai kehilangan semua barang kemas terbabit tetapi lelaki berusia 22 tahun itu terus melarikan diri.

Rosli berkata, susulan kejadian itu, mangsa bersama suami membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, pada hari sama.

“Siasatan turut mendapati, ibu kepada lelaki terbabit turut berada di rumah mangsa tapi tidak menyedari kehilangan semua barang kemas berkenaan yang disimpan dalam bilik.

“Warga emas itu mengesyaki perbuatan terbabit angkara cucunya sendiri, namun polis masih meneruskan siasatan lanjut dan sehingga kini lelaki itu masih belum pulang ke rumah,” katanya.

Menurutnya, polis mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan.

Bagaimanapun, katanya motif lelaki terbabit berbuat demikian belum dipastikan.

0 comments: