Monday, July 20, 2009

Wanita tikam suami direman

Sumber Harian Metro


AMPANG: Wanita yang menikam suami hingga parah selepas berang dengan janji lelaki terbabit yang mahu pulang sejurus perlawanan bola sepak persahabatan antara Malaysia menentang Manchester United kini direman empat hari bermula semalam.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan berkata, siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara pasangan terbabit sehari sebelum kejadian itu.

“Mereka mempunyai masalah peribadi dan kemuncaknya berlaku apabila lelaki terbabit memungkir janji, Sabtu lalu menyebabkan isterinya naik angin.

“Isterinya yang hilang kawalan itu menikam suaminya. Bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu,” katanya.

Menurut Abd Jalil, suami wanita itu kini dilaporkan stabil dan akan dibenarkan pulang bila-bila masa selepas mendapat rawatan di Hospital Ampang.

Harian Metro semalam melaporkan seorang lelaki menjadi mangsa apabila ditikam isterinya selepas dia memungkiri janji.

Wanita terbabit dikatakan berang dan menikam suaminya di dada sejurus dia pulang dari menonton perlawanan bola sepak berkenaan, kira-kira enam jam selepas itu.

Panik melihat keadaan suaminya yang dipenuhi darah, wanita itu menghantarnya ke hospital.

Polis menahan wanita terbabit di rumahnya di Kondominium Pandan Height dan turut merampas senjata yang digunakan dalam kejadian itu.

0 comments: