Thursday, July 9, 2009

Peragut idam MyKad

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Segelintir penjenayah ragut dikesan semakin bijak apabila tidak hanya mengidamkan wang, malah turut memburu MyKad milik mangsa bagi membolehkan mereka menggunakannya untuk memohon talian telefon bimbit dari syarikat telekomunikasi tempatan.

Penjenayah dikatakan memperoleh idea memanipulasi MyKad milik mangsa yang disamun untuk berfoya-foya menggunakan talian telefon bimbit talian tetap tanpa perlu membayar bil bulanan.

Tindakan penjenayah ini yang ada antaranya mendaftar sehingga lebih 10 talian dalam satu masa menyebabkan pemilik asal MyKad berkenaan ‘terjerat’ sebaik menerima deretan bil hutang telefon mencecah ribuan ringgit walaupun tidak pernah memohon atau menggunakan talian berkenaan.

Dalam kes pertama, seorang kontraktor menjadi mangsa apabila menerima bil telefon mencecah sehingga RM3,000 hanya beberapa bulan selepas MyKad miliknya hilang akibat disamun.

Mangsa, Chan Fook Chuan, 54, mendakwa masalah itu dipercayai bermula selepas dia disamun di hadapan rumahnya di Batu Belah, Klang pada jam 6 petang, 8 Februari lalu.

Menurutnya, empat penjenayah bersenjatakan parang bertindak melarikan dompet duitnya berisi MyKad dan wang tunai bernilai lebih RM200.

“Penjenayah yang memperoleh MyKad milik saya dipercayai menggunakan identiti saya untuk memohon talian telefon bimbit.

“Masalah mula melanda saya dua bulan selepas kejadian apabila saya mula menerima pelbagai surat mengandungi bil telefon bimbit dari sebuah syarikat telekomunikasi berjumlah RM2,860.

“Saya kemudian pergi ke pusat khidmat pelanggan syarikat telekomunikasi terbabit bagi membuat laporan berhubung penipuan menggunakan identiti saya.

“Malangnya, maklumat yang saya berikan tidak diendahkan, sebaliknya saya terus menerima surat arahan supaya membayar hutang bil telefon bimbit berkenaan,” katanya ketika ditemui di Biro Aduan MCA, semalam.

Menurutnya, dia hairan bagaimana syarikat telekomunikasi itu boleh membenarkan seorang individu memohon 12 talian telefon bimbit sekali gus dalam satu masa.

Dia yang kini turut diburu ejen pengutip hutang yang dilantik syarikat telekomunikasi terbabit kemudian turut membuat laporan polis di Balai Polis Klang pada 21 April lalu.

Sementara itu, dalam satu lagi kes berasingan, seorang pelajar kolej turut menjadi mangsa apabila MyKad miliknya yang disamun turut disalah guna penjenayah untuk memohon talian telefon bimbit.

Mangsa Choo Jing Jun, 19, berkata, dia sebelum ini kehilangan MyKad selepas disamun tiga lelaki bermotosikal ketika sedang berjalan di Bandar Bukit Puchong pada Disember tahun lalu.

Menurutnya, penjenayah yang bersenjatakan parang turut melarikan wang tunai RM80 dan telefon bimbit miliknya bernilai RM700.

“Semua masalah bermula pada 13 Mei lalu apabila menerima beberapa bil telefon dari syarikat telekomunikasi tempatan yang meminta saya membayar bil sebanyak RM963.95,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Micheal Chong berkata, pihaknya menerima lebih 19 kes berhubung penipuan dan salah guna MyKad sejak Januari lalu membabitkan penipuan pembelian kereta, pendaftaran syarikat dan lain-lain.

0 comments: