Thursday, July 9, 2009

Gadis putus cinta ugut terjun landasan LRT

Sumber Harian Metro

KUALA LUMPUR: Akibat putus cinta, seorang gadis sanggup cuba terjun dari jejambat pejalan kaki ke atas landasan transit aliran ringan (LRT) Star yang sedang sibuk, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, gadis terbabit mengugut terjun ke landasan LRT terbabit sekiranya teman lelakinya yang dipercayai tinggal berhampiran enggan datang memujuknya.

Bagaimanapun, tindakan ‘berani mati’ gadis terbabit yang berdiri sambil sebelah tangannya memegang dinding tepi jejantas berhampiran stesen LRT Pudu di sini, menyebabkan orang ramai panik sebelum menghubungi polis serta Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah.

Dalam kejadian itu, gadis yang dikenali sebagai Rohani, 19, dari Kluang, Johor, enggan berganjak walaupun dipujuk anggota polis dan bomba.

Difahamkan, mangsa menangis dan meraung sambil menyebut nama teman lelakinya berulang kali.

Sumber polis berkata, gadis terbabit yang mendakwa bertengkar dengan kekasihnya enggan berganjak sebaliknya hanya berdiri sambil memerhatikan gerabak LRT melintas laju di bawahnya.

“Beberapa orang awam yang menyaksikan kejadian itu cuba mengambil kesempatan merakamkan gambar gadis berkenaan menggunakan kamera dan telefon bimbit.

“Bagaimanapun, tindakan orang awam terbabit mencetuskan rasa marah gadis berkenaan yang mengarahkan supaya gambar wajahnya tidak diambil. Malah, gadis itu mengugut untuk terjun sekiranya orang ramai terus berdegil mahu merakam gambarnya,” katanya.

Keadaan gadis terbabit yang penat berdiri dan duduk seketika di tebing jejantas berkenaan diambil kesempatan oleh anggota bomba untuk merangkak mendekati mangsa sebelum segera menangkap gadis terbabit jam 9.20 pagi.

Menurutnya, gadis berkenaan kemudian dibawa ke Balai Polis Dang Wangi sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, gadis terbabit yang menyewa rumah di Pandan Indah, Ampang, sebelum itu dipercayai datang ke kawasan berkenaan untuk bertemu kekasihnya yang dipercayai tinggal berhampiran kawasan Flet Sun Ping , di sini.

“Dia berulang kali mengugut akan terjun sekiranya kekasihnya itu tidak muncul atau datang meredakan keadaan. Tindakannya itu menyebabkan pihak bomba yang memujuk hampir satu jam terpaksa mencari kaedah lain bagi mengelakkan gadis berkenaan membunuh diri.

“Tindakan gadis terbabit yang ingin terjun ke atas landasan berkenaan setinggi hampir 10 meter itu dibimbangi boleh menyebabkan letupan sekiranya mangsa terkena landasan elektrik LRT yang mempunyai kuasa elektrik setinggi 5,000 volt,” katanya.

Keadaan gadis terbabit yang penat berdiri dan duduk seketika di tebing jejantas berkenaan diambil kesempatan oleh anggota bomba untuk merangkak mendekati mangsa sebelum segera menangkap gadis terbabit jam 9.20 pagi.

Menurutnya, gadis berkenaan kemudian dibawa ke Balai Polis Dang Wangi sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk tindakan lanjut.

0 comments: