Thursday, July 9, 2009

Rayu simpati perompak

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud dan Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my


SEREMBAN: Seorang Exco kerajaan negeri yang disamun sekumpulan penjenayah warga Indonesia di kediamannya di Taman Guru Senawang, dekat sini, awal pagi semalam, bertindak wajar apabila tidak melawan, sebaliknya cuba merayu simpati.

Tindakan itu sekali gus menyebabkan penjenayah ‘bersimpati’ dan tidak mencederakan beliau sekeluarga sebaliknya terus beredar selepas memperoleh wang tunai dan barang berharga bernilai RM10,000.

Menceritakan kejadian berkenaan, Exco yang enggan dikenali itu berkata, beliau didatangi tiga lelaki bersenjatakan pisau ketika tidur di bilik di rumahnya kira-kira jam 3.30 pagi.

Menurutnya, ketiga-tiga lelaki itu yang menutup muka dengan baju terus meluru ke arah beliau dan isteri lalu cuba mengikat mereka.


“Saya cuba memujuk mereka supaya tidak bertindak kasar dan mereka tampak akur dengan permintaan saya.

“Saya juga meminta mereka tidak mengikat saya dan isteri serta mengapa-apakan kami, sebelum bertanyakan apa yang diinginkan.

“Perompak kemudian tidak bertindak ganas, sebaliknya meminta saya menyerahkan wang tunai dan barang berharga,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Selain isterinya, anak bongsunya berusia lima tahun turut berada dalam bilik berkenaan manakala dua lagi anaknya berusia belasan tahun termasuk pembantu rumah berada di bilik lain.

Menurut Exco terbabit, beliau tergerak hati untuk menggunakan pistol dimilikinya, namun khuatir dengan keselamatan isteri dan anak yang lain lalu melupakan hasrat itu dan cuba memujuk penjenayah itu.

Katanya, beliau ada bertanya kepada penjenayah terbabit mengapa mereka melakukan perbuatan menyalahi undang-undang dan mereka memberi alasan dan memberitahu sudah setahun tidak bekerja sebelum melarikan diri.

Kumpulan penjenayah itu mendakwa tiada pekerjaan selepas syarikat kontraktor sebelum ini tidak lagi mengambil mereka bekerja di situ.

“Penjenayah, dipercayai empat orang yang mana seorang daripadanya menunggu di luar rumah dan mereka dipercayai masuk melalui pintu depan dengan memotong jeriji lalu memecah pintu utama.

“Mereka kemudian beredar dari rumah melalui kawasan semak dan dalam beberapa minit saja sepasukan anggota polis tiba,” katanya.

Menurutnya, seminggu sebelum kejadian, seorang penduduk taman berkenaan turut menjadi mangsa pecah rumah yang dipercayai dilakukan kumpulan penjenayah sama.

Katanya, kejadian itu memberi pengajaran bukan saja kepada beliau, malah penduduk lain supaya lebih berhati-hati.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Mohd Zaki Masrof, berkata sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan kejadian itu.

0 comments: