Thursday, July 9, 2009

Perguna gadis

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Kelicikan sekumpulan Mat Rempit menjalankan kegiatan samun dan ragut di sekitar Subang Jaya, di sini sejak empat bulan lalu berakhir apabila mereka ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di USJ 8, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 5 petang itu, beberapa anggota dan pegawai risikan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Subang Jaya, berjaya menahan ketua dan 14 ahli kumpulan terbabit yang berusia lingkungan 20-an.

Beberapa motosikal juga turut dirampas.

Menurut sumber, kumpulan Mat Rempit itu turut dianggotai lima gadis sebagai alat untuk mengaburi mata masyarakat.

“Ahli wanita yang membonceng motosikal akan bertindak meragut mangsa. Mereka dikatakan membabitkan ahli wanita bertujuan mengelakkan orang ramai curiga selain menyangkakan mereka pasangan kekasih.

“Sebaik berjaya meragut, mereka akan pulang ke markas sebelum membahagikan wang dan barang berharga yang dirampas,” katanya.

Menurutnya, biarpun bilangan ahli kumpulan itu ramai, mereka mempunyai jadual dan syarat tersendiri dalam melakukan kerja itu.

“Setiap kali melakukan tugasan, mereka disyaratkan bergerak menggunakan tiga motosikal saja dalam satu masa. Manakala, ahli lain pula akan melakukan kerja berkenaan di kawasan lain,” katanya.

Sumber berkata, kumpulan terbabit mensasarkan kawasan tumpuan awam seperti pusat membeli-belah dan pasar pagi untuk melakukan kegiatan jenayah itu.

0 comments: