Thursday, July 9, 2009

Perogol budak kena penjara 10 tahun

Sumber Harian Metro


KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah atas dua tuduhan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun, dua tahun lalu.

Hakim Fathiyah Idris membuat keputusan itu terhadap Shah Rull Tajudin, 25, pada akhir kes pembelaan.

“Mahkamah mendapati keterangan dua saksi iaitu tertuduh dan majikannya gagal menimbulkan keraguan munasabah,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang hadir memakai pakaian serba putih didakwa merogol kanak-kanak berusia 12 tahun 11 bulan itu di sebuah rumah di Taman Maluri, Cheras dekat sini, antara jam 11 pagi hingga 3 petang, Januari 2007.


Pertuduhan kedua, di tempat yang sama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun tiga bulan, antara jam 1 petang hingga 3 petang, 22 Mei 2007.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Shah Rull didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu dalam rayuannya, tertuduh merayu supaya mahkamah memberi hukuman ringan kepadanya kerana dia tidak mendapat sokongan keluarga sejak mula dihadapkan ke mahkamah.

“Saya juga mengidap penyakit hepatitis C dan penjara adalah tempat tidak sesuai untuk penyakit saya,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad membantah dengan alasan mangsa masih muda ketika kejadian dan sebagai orang dewasa tertuduh sepatutnya menunjukkan teladan yang baik.

0 comments: