Monday, July 13, 2009

Tetak tangan paksa buka peti

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Mereka ditetak berulang kali pada pergelangan tangan sebelum diheret lebih lima meter dan dipaksa membuka peti besi yang menyimpan wang syarikat dalam satu rompakan di Batu 3 1/2, Jalan Cheras di sini, semalam.

Demikian tindakan kejam sekumpulan enam lelaki bersenjatakan parang berusia dalam lingkungan 30-an terhadap dua pengarah sebuah syarikat di sini.

Apa yang menghairankan, semua ahli kumpulan terbabit langsung tidak menutup wajah mereka ketika melakukan jenayah, seolah-olah mereka tidak takut dengan tindakan pihak berkuasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, semua suspek yang bersenjatakan parang bertindak menceroboh syarikat terbabit sebelum mengarahkan semua pekerja mendiamkan diri.

Difahamkan ketika kejadian lapan pekerja termasuk dua pengarah berusia antara 20-an dan 40-an berada dalam premis berkenaan.

Sebaik menceroboh, kumpulan terbabit mengumpulkan semua pekerja di satu sudut dalam premis terbabit sebelum mengurung mangsa dalam sebuah bilik.

Seorang daripada mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Tan, 20-an, berkata sebaik dia dan rakannya dikurung, seorang daripada suspek mengarahkan kedua-dua pengarah syarikatnya dikenali sebagai Chan, 40, dan Kweng, 39, mengikut mereka.

“Biarpun dikurung, kami mendengar dengan jelas suara suspek mengarahkan Chan dan Kweng membuka peti besi yang menyimpan wang syarikat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sikap melawan Chan dan Kweng yang enggan mematuhi arahan menyebabkan seorang daripada suspek berang lalu menetak tangan kedua-dua mangsa berulang kali.

Tan berkata, jeritan Chan dan Kweng yang kuat itu membuatkan semua pekerja mula ketakutan dan berdoa supaya semuanya selamat.

“Selepas 20 minit, kami semua diselamatkan pihak berkuasa. Ketika itu saya lihat kesan darah di atas lantai menunjukkan Chan dan Kweng diheret lebih lima meter ke peti besi berkenaan.

“Saya tidak dapat bayangkan keperitan ditanggung Chan dan Kweng kerana terpaksa membuka peti besi berkenaan dalam keadaan tangan mereka cedera,” katanya.

Katanya, dia yang juga sempat berbual dengan kedua-dua pengarah syarikatnya itu ketika polis hendak membawa mereka ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

Difahamkan, suspek melarikan wang tunai RM380,000 manakala Chan dan Kweng terpaksa ditahan di HKL kerana mengalami kecederaan serius.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abd Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

0 comments: