Thursday, July 9, 2009

‘Saya dirogol hingga ke pagi’

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my


KAJANG: “Saya dirogol berulang kali hingga ke pagi ketika dikurung di sebuah pondok di Sungai Lui, Ahad lalu.

“Lebih mengaibkan apabila perbuatan keji itu diperhatikan tiga wanita dan dua lelaki dipercayai rakan lelaki yang menculik saya,” kata pelajar berusia 15 tahun menceritakan penderitaan dialaminya ketika dikurung selepas dilarikan dari Hospital Kajang (HK), di sini, oleh beberapa individu tidak dikenalinya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan mengenai kejadian seorang pelajar berusia 15 tahun ‘diculik’ seorang lelaki berusia lingkungan 20-an ketika menjalani rawatan dan pemeriksaan kesihatan selepas mendakwa dirogol individu yang hanya dikenali Hairi, 30-an.

Apa yang menghairankan, kehilangan remaja terbabit dari hospital berkenaan berlaku ketika dia masih berada dalam pengawasan pihak berkuasa dan kakitangan HK.


Difahamkan, remaja terbabit yang dipaksa mengikuti seorang lelaki tidak dikenali dengan meloloskan diri melalui tingkap tandas hospital berkenaan.

Selepas itu, gadis malang berkenaan dibawa menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira ke sebuah pondok di Sungai Lui, di sini, sebelum beberapa ahli kumpulan terbabit termasuk tiga wanita memaksanya untuk menarik semula laporan polis yang dibuatnya.

Lebih malang, ketika dikurung remaja terbabit sekali lagi dirogol seorang lelaki sambil diperhatikan ahli kumpulan berkenaan.

Menurut mangsa, dia hanya mampu menangis selain terpaksa menahan kesakitan yang teramat sangat ketika dinodai suspek.

“Dia melakukannya (perkosa) berulang kali bermula kira-kira jam 11 malam hingga ke awal pagi. Kejadian itu cukup mengaibkan saya.

“Mana tidaknya, perbuatan keji itu diperhatikan individu lain sambil mereka mengarahkan lelaki durjana itu melakukan pelbagai aksi luar biasa ketika menodai saya,” katanya yang kelihatan masih truma.

Menurutnya, akibat tidak tahan diperlakukan sebagai hamba seks, dia bersetuju menarik semula laporan polis yang dibuat sebelumnya.

“Kira-kira jam 9 pagi, mereka menghantar saya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kajang, di sini, untuk menarik semula laporan.

“Bagaimanapun, saya ditahan pihak berkuasa ketika berbuat demikian. Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan setimpal terhadap mereka yang melakukan perkara terkutuk itu,” katanya.

Difahamkan, pada mulanya mangsa enggan membuat laporan polis mengenai tindakan lelaki kedua yang merogolnya kerana malu namun selepas dinasihatkan ahli keluarga, gadis malang itu berubah fikiran sebelum membuat laporan di IPPD Kajang, untuk tindakan dan siasatan lanjut.

0 comments: