Wednesday, March 18, 2009

10 minit belasah tepi jalan

Oleh Hadzlihady Hassan dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my

BUKTI...Mohd Radzif menunjukkan laporan polis dibuatnya.
BUKTI...Mohd Radzif menunjukkan laporan polis dibuatnya.

KUALA LUMPUR: Akibat tidak memiliki lesen memandu dan cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya, seorang pemuda dibelasah tiga anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) di Jalan Pasar, Jumaat lalu.

Ketika kejadian, mangsa Mohd Radzif Ahmad Dhoaa, 27, yang baru kematian adik lelakinya selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di Ipoh, Rabu lalu dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas mengambil motosikal adiknya di Kerinci, kira-kira jam 2.30 pagi.

Menurutnya, sebaik cuba berpatah balik kira-kira lima meter dari sekatan jalan raya, dia dipukul anggota Rela berusia lingkungan 30-an di tepi jalan menggunakan sebatang kayu.

“Hayunan kayu itu tepat mengenai bahagian kepala, badan dan lengan saya. Nasib saya agak baik kerana ketika itu memakai topi keledar, jika tidak saya tidak dapat bayangkan apa akan terjadi,” katanya.





Katanya, dia hampir terjatuh dari motosikal, namun sempat dipegang seorang lagi anggota Rela.

“Selepas itu datang beberapa anggota lain yang turut memarahi dan memukul kepala saya menggunakan tangan masing-masing,” katanya.

Mohd Radzif berkata, selepas kira-kira 10 minit dibelasah kumpulan Rela terbabit, anggota polis yang berada di sekatan mengarahkannya pulang ke rumah dan meminta jangan menghebahkan kejadian itu.

“Sebaik tiba di rumah, saya dihantar rakan serumah ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.

“Akibat cedera pada bahagian kepala itu, doktor mendakwa berkemungkinan penglihatan saya terganggu jika darah gagal diberhentikan. Dia berpesan supaya segera ke hospital sekiranya mengalami masalah itu.

“Saya membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Bandar atas nasihat ahli keluarga dan rakan, bagi memudahkan siasatan lanjut dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Rela Malaysia, Brig Jeneral Rela Datuk Zaidon Asmuni ketika dihubungi berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung insiden berkenaan, namun memberitahu pihaknya tidak memandang remeh dakwaan berkenaan.

“Kami (Rela) sebenarnya hanyalah membantu pihak berkuasa dalam melakukan tugasan dan tidak mempunyai sebarang peruntukan memukul orang awam biarpun dia melanggar undang-undang lalu lintas.

“Kerja kami (Rela) bukanlah menghukum tetapi membantu. Namun, saya percaya ada sebab lain sekiranya anggota kami benar-benar bertindak sedemikian. Keadaan itu akan berlaku sekiranya suspek bertindak kasar sehinggakan mengancam nyawa anggota Rela itu sendiri,” katanya.

Menurutnya, adalah menjadi kerja ‘gila’ sekiranya anggota Rela bertindak sedemikian tanpa sebab dan alasan munasabah.

“Apapun kami menyiasat dakwaan ini dan sekiranya anggota kami didapati bersalah, tindakan tegas dikenakan terhadapnya. Saya juga meminta supaya mangsa tampil berjumpa dengan kami bagi memudahkan siasatan dilakukan,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

0 comments: