Wednesday, March 18, 2009

Terjun kereta penculik

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Nekad mahu membebaskan diri daripada cengkaman dua lelaki yang menculiknya, seorang suri rumah sanggup menggadai nyawa terjun dari kenderaan sedang bergerak yang dinaiki bersama suspek berkenaan.

Mangsa berusia 24 tahun terpaksa bersembunyi selama sejam di belakang kedai perabot di Jalan Setapak, Sentul di sini sebelum menghubungi suaminya bagi mendapatkan bantuan.

Menurut sumber, kejadian bermula jam 10.15 malam pada Rabu lalu, apabila dua lelaki mendekati mangsa yang baru selesai membeli barang keperluan dapur di pasar raya di Sentul.

“Dua lelaki itu dikatakan memaksanya masuk ke dalam kereta Wira berwarna hitam sebelum mengarahkannya minum air dipercayai mengandungi pil khayal.





“Namun, mangsa menolak menyebabkan salah seorang suspek kemudian cuba mencabul kehormatannya sebelum memaksanya minum air kencing mereka,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa enggan menuruti segala arahan diberi dua lelaki berkenaan dan suri rumah itu dipukul menggunakan tangan pada bahagian kepala dan muka.

“Suspek turut mencekik dan mengacukan parang pada bahagian leher mangsa.

“Berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek sebelum suri rumah itu dikatakan menjerit dengan kuat bagi mendapatkan bantuan.

“Secara kebetulan, seorang pengguna jalan raya yang menyedari kejadian itu cuba mengejar kereta dinaiki mangsa hingga ke Jalan Setapak, namun gagal,” katanya.

Mangsa bertindak nekad terjun dari kenderaan suspek ketika pergelutan itu.

Sumber itu berkata, mangsa terpaksa bersembunyi di belakang kedai perabot berhampiran kira-kira sejam sebelum menghubungi suaminya.

Katanya, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Sentul.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintenden Zainuddin Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

“Polis sedang menyiasat kes ini dan sudah mengambil keterangan mangsa,” katanya.

Menurutnya, polis sudah mengenal pasti suspek dan menjalankan siasatan terperinci untuk membuat tangkapan.

0 comments: