Tuesday, March 17, 2009

Abang angkat, 4 rakan ratah tubuh bergilir-gilir

KUALA LUMPUR: Gara-gara terlalu mempercayai abang angkatnya, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun bukan saja dirogol lelaki terbabit dan empat rakannya yang lain bergilir-gilir berulang kali, malah ditampar serta dipijak selain dipaksa mengambil dadah.

Mangsa turut mengalami empat hari yang memeritkan apabila dipercayai dikurung dalam rumah di sebuah flet di Sentul, di sini dan diperkosa dengan semua suspek sepanjang tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, remaja yang tidak tahan lagi menjadi ‘hamba seks’ kumpulan berkenaan berjaya melarikan diri dengan bantuan seorang daripada suspek yang bersimpati dengannya sebelum membuat laporan polis.

Sumber itu berkata, dalam kejadian jam 9 malam 3 Mac lalu, mangsa diajak kakak angkatnya yang berusia 19 tahun ke rumah rakannya itu di Sentul.


“Apabila tiba, mangsa berbual dengan kakak angkatnya di ruang tamu rumah berkenaan sebelum dia secara tiba-tiba ditarik masuk ke dalam sebuah bilik oleh seorang lelaki yang juga dipercayai abang angkatnya.

“Ketika kejadian, mangsa meronta-ronta dan menjerit kuat serta bergelut untuk melepaskan diri, namun lelaki itu menampar dan memijaknya berkali-kali tanpa belas kasihan,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit kemudian merogol remaja perempuan itu berulang kali.

“Mangsa dikurung dalam sebuah bilik di rumah itu sebelum muncul empat lelaki lain dipercayai rakan abang angkat mangsa yang merogolnya secara bergilir-gilir,” katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan lemah dan tidak berdaya, mangsa dipaksa menghisap ganja, menghidu gam dan menelan pil khayal.

“Kumpulan lelaki itu juga mengugut remaja terbabit supaya tidak melarikan diri dan melaporkan hal itu kepada pihak berkuasa jika tidak mahu ahli keluarganya dicederakan,” katanya.

Difahamkan, mangsa yang ketakutan hanya mendiamkan diri sepanjang tempoh itu kerana ugutan lelaki terbabit.

Namun, kira-kira jam 12.30 tengah malam Sabtu lalu, mangsa berjaya keluar dari rumah berkenaan selepas seorang daripada suspek menjadi simpati dengan nasibnya sebelum membantunya melarikan diri.

Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, ketika dihubungi di sini berkata polis yang mendapat maklumat itu segera melakukan siasatan.

“Selepas mendapat laporan itu, polis mengenal pasti identiti kelima-lima suspek seperti didakwa mangsa sebelum mereka ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

0 comments: