Sunday, March 22, 2009

Tangan putus kena tetak

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my


AMPANG: Biarpun berpunca daripada perselisihan faham yang kecil, seorang lelaki hilang tangan kanannya selepas ditetak dengan sebilah parang selain cedera parah dibelasah sekumpulan 20 lelaki di Pandan Indah, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa berusia 30-an dikatakan bertengkar dengan suspek apabila keretanya dilanggar dari belakang sebelum berlaku pertengkaran kecil antara mereka.

Difahamkan, susuk tubuh mangsa yang besar menyebabkan suspek berusia 20-an itu bimbang sebelum menghubungi rakannya yang lain bagi mendapatkan bantuan.

Mangsa yang terus mempersalahkan suspek selain menuntut ganti rugi menyebabkan berlaku tolak-menolak sebelum kedua-dua mereka bergaduh.

Sumber berkata, selepas kira-kira 10 minit bergaduh, rakan suspek kemudiannya datang membantu dengan membelasah mangsa sehingga parah menggunakan pelbagai peralatan termasuk parang.

“Pada mulanya mangsa cuba melarikan diri, namun gagal kerana sudah dikepung lebih 20 rakan suspek.

“Akibat terdesak, mangsa dikatakan meneruskan pergaduhan itu menyebabkannya dibelasah kumpulan berkenaan hingga cedera parah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut sumber, biarpun mangsa cedera parah, kumpulan terbabit terus membelasahnya sebelum seorang daripada mereka menetak tangan kanannya sehingga putus menggunakan sebilah parang.

“Mangsa yang mengerang kesakitan kemudiannya ditinggalkan di lokasi kejadian sebelum dibantu orang awam,” katanya.

Mangsa kemudian dibawa orang ramai ke Hospital Ampang, di sini, untuk rawatan lanjut.

Sehubungan itu, ahli keluarga mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, tiga suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan sudah diberkas pihak berkuasa dan usaha memburu saki-baki kumpulan berkenaan sedang giat dijalankan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Assisten Komisioner II Hasnan Hassan mengesahkan kejadian berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.

0 comments: