Tuesday, March 17, 2009

Polis ambil keterangan pengasuh

SUBANG JAYA: Polis sudah mengambil keterangan seorang pengasuh wanita yang didakwa mendera seorang bayi lelaki berusia 11 bulan sehingga cedera di kepala dalam satu kejadian di Taman Puchong Indah, di sini, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Abdul Aziz Abdul Majid, berkata wanita berusia 19 tahun itu ditahan di rumahnya di kawasan sama kelmarin sebelum dibebaskan sejurus selesai diambil keterangan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bayi berkenaan hanya mengalami cedera ringan berikutan pemeriksaan menemui kesan lebam di muka, kepala dan kaki.

“Namun, polis akan tetap menjalankan siasatan lanjut kes berkenaan yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak.


“Jika polis mengesan ada unsur jenayah, pengasuh itu akan ditahan semula untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Harian Metro semalam melaporkan seorang bayi lelaki berusia 11 bulan cedera selepas dipercayai didera termasuk dimandikan dengan air panas oleh pengasuhnya.

Mangsa yang kini dirawat di Wad Kecemasan Hospital Serdang, dekat sini, turut dikesan mempunyai beberapa kesan luka di seluruh badan terutama di kepala dan muka dipercayai dipukul pengasuh terbabit.

Difahamkan, mangsa turut mengalami kesan melecur teruk di kaki itu didera pengasuhnya sejak beberapa bulan lalu sebelum perbuatan itu terbongkar, beberapa hari lalu.

Masalah dikatakan bermula pada 2 Mac lalu apabila ibu bayi berkenaan mula mengesyaki sesuatu tidak kena apabila melihat kesan luka pada tubuh anaknya dan kejadian sama berulang lagi Jumaat lalu apabila wanita terbabit mendapati mata anaknya pula bengkak seolah-olah ditumbuk selain kesan luka di kepala.

Kejadian kedua itu benar-benar membuat wanita berkenaan kecewa dan marah sebelum membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

0 comments: