Thursday, March 19, 2009

Pengurus cuba tenangkan perompak mati ditembak

SEBERANG JAYA: Pengurus Pasaraya Tesco Extra di sini cuba menenangkan sekumpulan perompak yang merompak sebuah kedai emas dalam pasar raya itu biarpun mengetahui boleh membahayakan nyawanya.

Usaha S Sathiasillan, 28, itu bagaimanapun sia-sia apabila empat perompak terbabit melepaskan tembakan mengenai dagu dan dadanya dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi semalam.

Rakan mangsa, Pengurus Peruncitan Tesco, N Ilangohvan, 26, dan seorang pengawal keselamatan kedai emas terbabit, Izat Hafiz Mohamad Saad, 27, turut cedera terkena tembakan. Mereka dirawat di Hospital Seberang Jaya dan keadaan mereka dilaporkan stabil.





Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata ketika suspek melarikan diri selepas merampas barang kemas berkenaan, mangsa bersama Ilangohvan baru tiba di tempat kejadian.

Mereka cuba memujuk perompak itu, namun ditembak beberapa das hingga menyebabkan Sathiasillan mati serta-merta.

Dalam rompakan nekad itu, katanya, suspek bersenjatakan pistol dan tukul besi itu dipercayai mengambil masa kurang empat minit untuk melarikan 20 dulang emas bernilai RM250,000.

Katanya, empat perompak memakai topeng dan bertopi keledar bertutup penuh itu datang berasingan lalu terus menembak pengawal keselamatan bertugas.

“Mereka memecahkan pintu kaca kedai emas itu yang belum memulakan operasinya menggunakan tukul besi.

“Selepas mengambil barang kemas itu dengan memecahkan cermin rak pameran, mereka melarikan diri dengan sebuah kereta Honda City dan motosikal bersama dua rakan yang menunggu di luar.

“Ketika kejadian, lima petugas kedai emas iaitu tiga wanita dan dua lelaki tidak dicederakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ayub berkata, polis turut menemui empat kelongsong peluru di tempat kejadian.

0 comments: