Wednesday, March 18, 2009

Bahana seks bebas

Oleh FUAD HADINATA YAACOB dan NAZARALI SAERIL
metahad@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Perasaan saya bercampur baur sedih, marah dan kecewa apabila melihat janin yang cukup sifat itu kaku tidak bernyawa. Wajahnya comel, malangnya dia menjadi mangsa tindakan kejam ibunya,” kata aktivis sosial, Kamaruddin Kassim, menceritakan pengalamannya mengendalikan satu kes pengguguran janin secara haram akibat seks bebas di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Beliau yang juga Penyelaras Program Latihan Aktivis Dakwah Lapangan (Landas) berkata, kes itu dikendalikannya selepas dimaklumkan kakitangan sebuah hospital di bandar itu mengenai seorang remaja berusia 17 tahun yang menggugurkan kandungannya secara sendirian sehingga menyebabkan bayi dikandungnya meninggal dunia.

Kamaruddin berkata, selepas selesai menguruskan janin itu, termasuk memandi, mengkafan dan mengkebumikannya, beliau menemui remaja terbabit untuk mengetahui kisah sebenar di sebalik tindakan kejinya.

Menurutnya, dalam pertemuan itu remaja terbabit yang tidak lagi bersekolah memberitahu, itu kali ketiga dia mengandung anak luar nikah hasil hubungan haram dengan teman lelaki.





“Dia menggugurkan kandungannya di rumah sewa yang diduduki bersama rakan. Sebelum ini dia pernah dua kali mengandung akibat hubungan seks haram, namun kedua-dua bayinya dilahirkan sebelum dia serahkan kepada keluarga angkat.

“Apabila mengandung buat kali ketiga, dia ambil keputusan menggugurkannya. Remaja itu memberitahu, dia makan sejenis ubat supaya kandungannya gugur. Biarpun sedar bahaya dihadapi kerana kandungannya ketika itu mencecah tujuh bulan, dia nekad menggugurkannya,” katanya.

Kamaruddin berkata, remaja itu memberitahunya, dia menggugurkan kandungannya bersendirian di rumah sewanya tanpa pengetahuan dan bantuan sesiapa.

“Saya tak pasti bagaimana dia buat, cuma dia beritahu ketika cuba menggugurkan kandungan, dia berasa terlalu sakit. Selepas tidak mampu menahan sakit, baru dia minta bantuan teman serumah yang sebelum itu tidak menyedari tindakannya.

“Rakannya juga panik apabila melihat keadaannya yang berlumuran darah, lantas meminta bantuan jiran untuk menghantarnya ke hospital. Bagaimanapun, janin yang cukup sifat itu menemui ajal,” katanya.

Menurutnya, remaja itu yang bekerja di sebuah kafe di bandar Sungai Petani mengaku, pergaulan bebas dan masalah keluarga menjadi punca dia terbabit dengan cara hidup liar sehingga tiga kali mengandung luar nikah.

“Mungkin kerana sebelum ini pernah bersalin, dia hadapi kesukaran untuk menggugurkan janin itu sehingga terpaksa meminta bantuan, namun yang menyedihkan saya, kandungannya tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Kamaruddin berkata, kejadian yang berlaku ke atas gadis itu adalah kesan secara langsung akibat aktiviti liar remaja hari ini, sama ada lelaki atau perempuan, seperti menjadi mat atau minah rempit, minum arak, mengambil dadah dan melakukan hubungan seks bebas.

Berdasarkan pengalamannya yang kerap turun padang mendekati remaja bermasalah, beliau berkata, ada remaja sekolah rendah terbabit dengan gejala sosial, malah tidak segan silu berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai.

“Apabila remaja ini bebas bergaul, pelbagai perkara boleh berlaku, termasuk mengandung luar nikah. Yang seronok lelaki, tetapi si perempuan menanggung derita. Bila mengandung, baru timbul rasa takut dan malu. Akhirnya ambil jalan pintas dengan menggugurkan kandungan,” katanya.

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Md Nor, turut pernah mengalami pengalaman serupa apabila berdepan kes dua remaja perempuan berusia belasan tahun yang pernah menggugurkan bayi sebanyak tiga kali dan kini mengandung kali keempat.

“Mereka meminta khidmat kaunseling. Lebih mengejutkan, kedua-dua remaja itu tidak tahu siapa bapa bayi mereka kerana ditiduri ramai lelaki. Mereka juga mengaku bayi yang mereka gugurkan tiga kali sebelum ini hanya dibuang di tepi jalan,” katanya.

Menurutnya, apabila ditanya perancangan mereka untuk bayi keempat yang mereka kandung hasil hubungan seks haram itu, seorang daripada remaja itu menjawab, kali ini dia tidak mahu gugur sebab dia hendak beri anak itu kepada orang lain dan akan berkahwin selepas bersalin.

“Seorang lagi juga begitu apabila mahu menyerahkan anaknya kepada keluarga angkat,” katanya.

Dr Mariani berkata, melalui pengalamannya, remaja yang hamil luar nikah cenderung menggugurkan kandungan kerana terdesak, selain tidak mahu mencemar maruah diri dan keluarga.

“Bila buat (seks) mereka seronok tetapi apabila sudah mengandung, baru terfikir akibatnya dan masa ini baru takut, malu dan mengaibkan diri serta keluarga.

“Apabila tiba masa, mereka cari peluang dan ruang untuk menggugurkan bayi, kemudian membuangnya di tempat tersorok seperti dalam semak, tong sampah atau longkang,” katanya.

Menurutnya, pada usia awal remaja dari 11 tahun hingga lewat remaja 19 tahun, mereka boleh dikategorikan mencari identiti, rakan yang ada persefahaman selain pergaulan bebas.

Beliau tidak menolak faktor limpahan wang ringgit daripada ibu bapa, pendedahan permainan video sejak kanak-kanak lagi serta dunia teknologi maklumat mendorong gejala itu berlaku.

“Saya pernah lihat kanak-kanak bermain video lucah seperti peperangan yang mana apabila berjaya, ada tanggalkan baju, seluar dalam hingga coli. Apabila didedahkan dengan keadaan ini, mereka akan berimaginasi dan masuk ke alam remaja, perkara itu biasa bagi golongan ini sehingga terdorong melakukan seks,” katanya.

0 comments: