Tuesday, March 17, 2009

Bakar hidup-hidup

Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

SUNGAI BULOH: Kejam apabila empat sekeluarga warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan rentung dipercayai dibakar hidup-hidup dalam sebuah rumah kontena di tapak menjual kenderaan terpakai di Jalan Sungai Buloh-Shah Alam, awal pagi semalam.

Lebih menyedihkan apabila seorang bayi perempuan dan kanak-kanak perempuan masing-masing berusia lapan bulan serta dua tahun turut menjadi mangsa khianat itu.

Dalam kejadian jam 5 pagi, kelima-lima mangsa nyenyak tidur di rumah yang mempunyai beberapa bilik, termasuk pejabat.

Mangsa yang dipercayai pekerja di premis itu dikenali sebagai Pori Tohh Kumar, 32, isterinya, Toun Sari Daj, 28, dan dua anak mereka, Prima dan Shilpa.





Seorang lagi mangsa yang berkhidmat sebagai pengawal keselamatan dikenali sebagai Ah Yong, 55.

Dia turut tinggal bersama keluarga Bangladesh itu.

Difahamkan, Kumar cuba membuka pintu rumah terbabit sejurus menyedari kebakaran itu, namun gagal berikutan ia diikat dengan dawai besi menyebabkan semua mangsa terperangkap dalam api yang marak dengan cepat.

Siasatan awal polis mendapati kejadian itu berunsur khianat apabila menemui beberapa kesan pecah masuk dan sejenis bahan bakar dipercayai digunakan untuk membakar rumah terbabit.

Saksi kejadian, Kamarul Jamal, 22, berkata dia tersentak apabila mendengar salakan anjing sebelum menyedari rumah rakan baiknya, Kumar musnah dijilat api.

Dia yang bekerja bersebelahan premis itu berkata, sejurus dikejutkan dengan bunyi itu, dia keluar untuk menyelamatkan mereka sekeluarga.

“Bagaimanapun, saya gagal berbuat demikian berikutan api terlalu marak dan memusnahkan rumah itu.

“Saya seterusnya menjerit meminta pertolongan sebelum sepasukan anggota bomba dan jentera tiba memadam api kebakaran,” katanya.

Selain bomba, sepasukan unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) turut giat melakukan siasatan.

Semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata kejadian itu didapati mempunyai unsur jenayah dan pihaknya mengumpul bukti bagi menjalankan siasatan.

“Pemeriksaan mendapati pintu jeriji besi rumah itu diikat dengan dawai yang menyukarkan mangsa menyelamatkan diri dan polis bagaimanapun belum pasti ia dilakukan penghuni atau pihak lain.

“Selain itu, polis mendapati ada kesan pecah masuk penjenayah di pintu rumah selain menjumpai bahan bakar di sekitar tempat kejadian.

“Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berikutan penemuan bahan bukti itu,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Abdul Razak Muda, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan jam 5.14 pagi.

“Seramai 12 anggota dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh tiba jam 5.27 pagi segera memadamkan api dan mengawal kebakaran 20 minit kemudian.

“Pemeriksaan mendapati kelima-lima mangsa rentung sepenuhnya dan mereka berada dalam jarak satu meter antara satu sama lain dalam beberapa bilik berlainan di rumah terbabit,” katanya.

Menurut Abdul Razak, siasatan awal mendapati kebakaran berpunca dari belakang rumah dan api yang marak menyebabkan mangsa terperangkap serta gagal menyelamatkan diri.

0 comments: