Friday, March 20, 2009

Rela hutang tebus isteri dilarikan

KUALA LUMPUR: “Aku akan bunuh isteri kau secara perlahan-lahan jika gagal membayar wang tebusan,” kata Roslan Mohd Ariffin, 42, menceritakan dirinya diugut seorang lelaki tidak dikenali dipercayai individu yang melarikan isteri keduanya, Siti Jora Mohamad, 35, sejak sebulan lalu.

Isteri keduanya itu dikatakan dibawa lari dari rumah mereka di Taman Bukit Inai, Negeri Sembilan, pada 17 Februari lalu sebelum disembunyikan seorang lelaki tidak dikenali.

Difahamkan, Siti Jora isteri yang patuh kepada perintah suami serta seorang penyayang biarpun dia menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis kronik.

Menurut Roslan, sejak laporan mengenai kehilangan Siti Jora disiarkan, lebih 10 panggilan diterimanya daripada seorang lelaki yang mendakwa menyembunyikan isterinya itu di sebuah rumah kosong di lokasi tidak diketahui.
“Lelaki itu mendakwa akan membiarkan Siti Jora kelaparan dan akan menyeksanya dengan kejam sehingga mati jika saya enggan membayar wang tebusan RM1,000.

“Malah, lelaki terbabit begitu yakin mendakwa dia tidak akan dapat dikesan pihak berkuasa kerana tempat persembunyiannya itu cukup selamat selain mengarahkan saya mempercepatkan proses pembayaran.

“Dia mengarahkan saya memasukkan wang ke dalam akaunnya secepat mungkin dan hanya memberikan tempoh seminggu bermula semalam,” katanya.

Roslan berkata, biarpun dia hanyalah orang kebanyakan dan tidak mempunyai simpanan yang banyak, dia sanggup berhutang dengan orang lain semata-mata untuk menyelamatkan Siti Jora.

“Namun, saya berharap lelaki terbabit memberikan sedikit masa kepada saya untuk mendapatkan wang yang dimintanya selain membenarkan saya bercakap dengan Siti Jora.

“Saya memohon kepada lelaki terbabit tidak mencederakan Siti Jora dan merayu kepadanya membebaskan isteri saya segera,” katanya.

Katanya, dia sanggup tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap lelaki terbabit sekiranya memulangkan Siti Jora dalam keadaan selamat.

Sehubungan itu, mangsa sekali lagi membuat laporan di Balai Polis Mantin, Negeri Sembilan untuk tindakan seterusnya.
Sumber: Harian Metro

0 comments: