Tuesday, March 17, 2009

Tusuk pisau ke leher ugut serah barang

KUALA LUMPUR: Berhati-hati berikutan muncul geng samun dan peras ugut kaki lima yang gemar menggunakan taktik dengan menusuk pisau ke leher mangsa sebelum mengugut menyerahkan barang berharga dimiliki.

Kumpulan peras ugut tepi jalan berkenaan gemar merayau dengan menaiki motosikal di sekitar ibu kota sebelum menyerang mangsa yang dilihat bersendirian.

Dalam kes terbaru, seorang operator pengeluaran sebuah kilang berusia 26 tahun menjadi mangsa apabila dirompak kumpulan berkenaan yang mengugut mangsa dengan menggunakan pisau.

Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 10 malam kelmarin, mangsa yang berjalan bersendirian melalui lorong gelap di Jalan Chow Kit ditahan tiga lelaki tidak dikenali yang menaiki dua motosikal Honda EX5.


“Seorang daripada suspek mengacukan objek tajam dipercayai pisau ke leher mangsa.

“Suspek mengugut mangsa supaya menyerahkan semua barang berharga,” katanya.

Menurutnya, suspek merampas dompet duit mangsa yang mengandungi kad pengenalan dan wang tunai RM50.

“Susulan kejadian itu, mangsa segera membuat laporan di Balai Polis Sentul,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan jam 7 petang kelmarin, seorang lelaki berusia 52 tahun yang sedang berniaga roti canai di gerainya di lorong berhampiran jejambat Jalan Pudu, di sini.

Sumber polis berkata, ketika kejadian tiga lelaki tidak dikenali muncul dengan menaiki motosikal sebelum mendekati mangsa.

“Suspek menusuk pisau ke leher mangsa manakala seorang lagi mengacukan pisau ke perut mangsa dan seorang lagi mengawasi keadaan,” katanya.

Menurutnya, suspek menggeledah laci jualan sebelum merampas wang RM250.

Ketiga-tiga suspek segera melarikan diri sebelum mangsa segera ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan polis.

0 comments: