Thursday, March 19, 2009

Dua lelaki culik saya’

Oleh Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


BATU PAHAT: “Saya ingatkan tak akan jumpa ibu bapa lagi kerana bapa ayam berkeliaran di sana (kawasan hotel),” kata Nursyazwani Muhidin, 16, menceritakan pengalamannya ketika dilari dan ditinggalkan bersama tujuh lelaki sebelum dibawa ke sebuah hotel di Johor Bahru, Rabu lalu.

Dia mendakwa dilarikan dua lelaki yang menaiki kereta Proton Satria di pondok menunggu bas berhampiran rumahnya di Taman Nira di sini.

Sebaik terdengar bunyi pintu kereta ditutup kuat, baru dia tersedar sudah berada dalam sebuah kereta bersama dua lelaki berusia 20-an itu.

“Saya dibawa ke sebuah rumah sewa di Taman Bakti, Jalan Kluang di sini sebelum dua lelaki itu mengurung saya tetapi memberikan makanan dan minuman.

“Apabila memberitahu mahu pulang, mereka enggan menghantar saya, sebaliknya menyuruh meminum minuman seperti teh dengan alasan ia dapat meringankan kepala. Saya agak ia mungkin arak.

“Berikutan enggan mengikut arahan lelaki berkenaan, saya dikurung dua malam sebelum mereka membawa saya ke Johor Bahru pada pagi Rabu minggu lalu. Sebaik tiba, tujuh lelaki berusia 20-an menunggu di satu kawasan di sekitar Jalan Wong Ah Fook,” katanya.

Dua lelaki yang membawanya dengan Proton Satria dari Batu Pahat itu terus menghilangkan diri.

Mangsa terpaksa bersama kumpulan tujuh lelaki bermotosikal itu sebelum dibawa bersiar-siar di sekitar pusat bandar raya.

Pada sebelah malam pula, katanya, dua daripada tujuh lelaki itu memberitahu beberapa bapa ayam memerhatikannya.

Dua lelaki terbabit mengajaknya makan malam di tempat lain dengan alasan mahu menyelamatkannya.

“Selepas makan, saya dibawa ke sebuah hotel tapi tak menyangka mereka tidur dalam bilik yang sama.

“Saya cuba melarikan diri tapi dimarahi, namun dapat berbuat demikian keesokannya ketika mereka sedang tidur,” kata Nursyazwani.

Dia kemudian menemui lima lelaki daripada kumpulan itu meminta menghubungi telefon bimbit bapa sebelum pak ciknya di Johor Bahru datang mengambilnya, petang Khamis lalu.

Dia yang menganggap pengalaman dilarikan selama tiga hari itu paling buruk dalam hidupnya tidak terfikir dapat bertemu semula keluarganya.

Malah, gadis berkenaan tidak menolak kemungkinan dia mungkin dijual kepada bapa ayam atau cuba dijadikan ‘hadiah’ dalam pertarungan lumba haram membabitkan kumpulan Mat Rempit jika gagal melarikan diri.

Sementara itu, bapanya, Muhidin Ibrahim, 41, bersyukur apabila menemui semula Nursyazwani dan berharap pihak berkuasa menjejaki lelaki yang mengurung anaknya.

0 comments: