Thursday, March 19, 2009

Angkara cemburu

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my


SEREMBAN: Seorang bakal pengantin perempuan dan bapanya ditemui mati dibunuh di rumah mereka di Taman Tuanku Ampuan Najihah, Sungai Gadut, Senawang dekat sini.

Mayat dua beranak itu ditemui seorang ahli keluarga, kira-kira jam 12.40 tengah hari semalam, yang kebetulan ke rumah berkenaan bagi membincangkan urusan perkahwinan yang dijadualkan Sabtu ini.

Mayat D Kasturi, 23, yang parah di kepala akibat ditetak dan dua jari tangan kanannya putus ditemui di sebuah bilik di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu, manakala mayat bapanya, M Doraisamy, 52, ditemui dengan leher dan tangan kanannya hampir putus di bilik berasingan di tingkat atas.

Difahamkan, Kasturi yang juga seorang kerani di sebuah kilang di Senawang bakal melangsungkan perkahwinan dengan seorang anggota polis di negeri ini.



Polis percaya pembunuhan kejam itu bermotifkan cemburu terhadap mangsa yang bakal melangsungkan perkahwinan.

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner II Datuk Abd Manan Mhd Hassan, berkata jiran mendakwa terdengar jeritan di rumah mangsa, kira-kira jam 3.50 pagi semalam.

Menurutnya, kakak Kasturi yang pergi ke rumah berkenaan tengah hari semalam menemui mayat adik dan bapanya di bilik tidur berasingan di tingkat atas.

“Polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi untuk melakukan siasatan sebaik menerima laporan.

“Kedua-dua mangsa ditemui dengan kesan kecederaan parah di beberapa bahagian badan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal polis di rumah mangsa mendapati tiada kesan pecah masuk atau geledah.

Katanya, pembunuh dan mangsa dipercayai saling mengenali.

Dua beranak itu dipercayai dibunuh menggunakan senjata tajam yang sedang dikesan polis.

“Siasatan lanjut mengenai kejadian itu turut membabitkan cemburu,” katanya sambil menyebut sepasukan polis dari Unit Forensik dan Anjing Pengesan (K9) dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu siasatan.

Mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Tu’anku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222 atau balai polis berhampiran.

0 comments: