Thursday, March 19, 2009

Tiba-tiba dikurung

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my


AMPANG: Mimpi berulang kali seorang graduan universiti dia terperangkap di sebuah rumah bagaikan petanda awal apabila kejadian itu benar-benar berlaku selepas dikurung seorang lelaki tidak dikenali di Pandan Villa, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Mastura, 24, berkata dia ditemani teman lelakinya ke rumah suspek yang meminta pertolongan untuk menjaga anak perempuannya berusia lingkungan 10 tahun.

Difahamkan, mangsa yang baru menamatkan pengajian dari sebuah universiti tempatan bersetuju mengikut lelaki terbabit ke rumah selepas tertarik dengan tawaran untuk bekerja sebagai pengasuh dengan gaji RM600 sebulan.

“Pada mulanya saya bersetuju bekerja dengan lelaki itu namun berubah fikiran selepas melihat dua wanita warga Thailand datang ke rumah lelaki itu dan menuntut hutang. Saya yakin wanita itu bekas pengasuh kepada anak lelaki terbabit,” katanya.

Mastura berkata, dia terkejut dengan kemunculan dua wanita terbabit meminta wang menyebabkannya berubah fikiran untuk tidak bekerja sebagai pengasuh.

“Saya kemudian meminta pulang dan tidak mahu bekerja namun dihalang lelaki terbabit kerana mendakwa ingin membeli minuman semua tetamu termasuk saya, teman lelaki saya dan dua wanita berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, lelaki terbabit turut membawa anak perempuan itu bersamanya dan meminta semua tetamunya bersabar sementara menunggu dia pulang.

Selepas 30 minit menunggu, lelaki terbabit tidak muncul menyebabkan dia dan mangsa lain untuk keluar dari rumah berkenaan.

“Kami terkejut apabila mendapati rumah itu dikunci dari luar. Kami juga cuba menghubungi semula lelaki itu namun gagal.

“Akibat berang dengan tindakan itu, kami cuba memecahkan pintu rumah berkenaan namun gagal.

“Buntu untuk mencari jalan keluar, kami menghubungi polis,” katanya.

Mastura berkata, kira-kira 10 minit kemudian tiga anggota polis yang datang ke lokasi terus memecahkan pintu rumah itu.

“Selepas kejadian itu saya terfikir tentang mimpi terkurung yang saya alami sebelum ini seolah-olah petunjuk kepada kejadian sebenar,” katanya.

Sehubungan itu, semua mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan usaha mengesan lelaki terbabit sedang giat dijalankan.

0 comments: