Saturday, March 21, 2009

Pekerja derhaka mati dipukul

Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
zulsham@kosmo.com.my

KAJANG - Hajat seorang lelaki yang mahu menyamun bekas majikan wanitanya yang hidup mewah di sebuah banglo di Country Heights di sini berakhir dengan kematian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner II, Hasnan Hassan berkata, dalam kejadian pukul 5 pagi semalam, suspek seorang lelaki Cina berusia 53 tahun berjaya masuk ke banglo itu mengguna kunci pendua.

"Suspek menuju ke bilik utama bekas majikannya seorang wanita Melayu yang berusia 56 tahun yang ketika itu sedang tidur," kata beliau ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, turut berada di dalam rumah itu, seorang lelaki Palestin berumur 40 tahun dan seorang anak saudara mangsa yang menghidap penyakit 'autisme' atau kecacatan mental yang berusia 12 tahun serta seorang pembantu rumah warga Indonesia.

Katanya, selepas suspek masuk ke dalam bilik itu, dia kemudian mengugut bekas majikannya memberikan wang dan situasi itu menyebabkan suasana bilik menjadi bising.

Ekoran keadaan itu, lelaki Palestin yang tidur di sebuah bilik lain terjaga dan terus ke bilik utama untuk melihat apa yang berlaku.

"Suspek dengan membawa pisau yang menyedari kehadiran lelaki Palestin terus menyerang lelaki Palestin itu sehingga menyebabkan berlaku pergelutan selama kira-kira 20 minit," kata beliau.

Hasnan memberitahu, semasa pergelutan mangsa yang belum berkahwin terus keluar dari bilik dan membawa anak saudaranya serta pembantu rumah menyelamatkan diri.

Ujarnya, seorang pengawal keselamatan yang terdengar jeritan mangsa telah pergi ke banglo itu sebelum menghubungi polis.

Hasnan memberitahu, polis yang tiba di tempat kejadian mendapati suspek telah mati akibat dihentak dengan kerusi kayu di kepala.

Lelaki Palestin itu pula luka di perut akibat terkena tikaman. Dia dihantar ke Hospital Serdang.

0 comments: