Monday, March 23, 2009

Mayat separuh bogel di pokok

Kosmo 24.Mac 2009

HULU SELANGOR - Seorang pekerja bengkel yang melalui jalan pintas untuk ke tempat kerjanya di Sungai Choh di sini semalam, tergamam melihat satu mayat wanita dalam keadaan separuh bogel tergantung di sebatang pokok durian.

Ketika ditemui pukul 7.45 pagi, mayat wanita itu digantung mengguna tali dan hanya memakai coli serta seluar dalam.

Lelaki itu yang mahu dikenali sebagai Mazri dikatakan kerap menggunakan jalan pintas itu untuk ke tempat kerjanya yang terletak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

Mazri yang terkejut melihat mayat itu segera memaklumkan kepada seorang pekerja di sebuah stesen minyak berhampiran sebelum menghubungi polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supritendan Bakhtiar Rashid berkata, siasatan awal polis pada mulanya mengesyaki mangsa membunuh diri.

"Bagaimanapun, unit forensik yang tiba dan membuat siasatan mendapati kematian mangsa mempunyai kaitan jenayah kerana kaki mangsa yang mencecah tanah turut diikat.

"Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dirogol berdasarkan pada keadaan seluar dalamnya yang terlondeh,'' katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Menurut Bakhtiar, polis percaya selepas mangsa dirogol, suspek kemudian menjerut leher mangsa dengan menggantungnya pada dahan pokok durian tersebut.

Kejam! Kejam! Kejam!
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

HULU SELANGOR: Seorang wanita bukan setakat dirogol, malah lehernya dijerut sebelum mayatnya digantung dalam keadaan separuh bogel pada dahan sebatang pokok durian.

Ketika ditemui seorang mekanik kira-kira jam 7.50 pagi di sebuah dusun di Kampung Sungai Choh di sini, semalam, mangsa hanya memakai coli putih dengan seluar dalam yang sedikit terlucut.

Difahamkan, pembunuh sengaja menggantung mayat wanita berusia awal 20-an itu bagi mengelirukan polis seolah-olah mangsa membunuh diri.

Bagaimanapun, penemuan kesan tapak kaki, sebotol arak, beberapa tiket bas dan calar pada paha mangsa memberi petunjuk kemungkinan wanita dirogol sebelum dijerut dan digantung.

Mekanik berkenaan, Mohd Mazry Mazlan, 20-an, berkata ketika kejadian, dia menunggang motosikal bersendirian melalui jalan pintas di dusun itu untuk ke stesen minyak Kampung Sungai Choh, untuk membeli rokok.

Katanya, ketika melalui dusun berkenaan, dia terlihat ‘anak patung’ besar tergantung pada dahan pokok durian berkenaan.

“Mulanya saya tak menyangka ia mayat manusia lalu mendekati dan melihatnya lebih dekat.

“Namun, sebaik merenung muka mangsa yang ditutupi rambut, saya tersentak apabila menyedari ia mayat manusia,” katanya.

Dia yang cemas segera memecut motosikalnya dan meminta pekerja stesen minyak melaporkan kepada polis.

“Ini pengalaman pertama saya melihat mangsa bunuh. Keadaan mayat mangsa berkulit putih dan bertubuh kecil cukup mengerikan,” katanya.

Sementara itu Timbalan ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Bakhtiar Md Rashid, berkata pihaknya menerima maklumat orang awam mengenai penemuan mayat wanita itu, kira-kira jam 7.50 pagi.

Menurutnya, pada peringkat awal, anggota polis yang melakukan siasatan menyangka mayat wanita itu tergantung kerana membunuh diri.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut Unit Forensik mendapati dia bukan menggantung diri seperti disangka, sebaliknya berkemungkinan besar dibunuh. Polis yakin mangsa dibunuh lebih daripada seorang,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan di tempat kejadian tidak menolak kemungkinan wanita yang belum dikenal pasti identiti itu ditarik pembunuhnya ke kawasan belukar berhampiran dusun itu.

“Berlaku pergelutan antara pembunuh dan mangsa sebelum dia dibunuh dengan kejam apabila lehernya dijerut.

“Kesan pergelutan ini dapat dilihat berdasarkan luka pada paha dan kaki mangsa yang dipercayai meronta untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Menurutnya, mangsa digantung pada dahan pokok durian setinggi hampir dua meter menggunakan tali yang dijerut pada lehernya.

“Berdasarkan ikatan tali, polis percaya beberapa pembunuh saling bekerjasama untuk mengangkat mangsa sebelum ia digantung.

“Kami percaya mangsa bukan membunuh diri kerana kedua-dua kakinya membengkok dan mencecah permukaan tanah,” katanya.

Ditanya sama ada mangsa dirogol sebelum dibunuh, Bakhtiar tidak menolak kemungkinan itu, tetapi masih menunggu laporan bedah siasat.

“Ada kemungkinan mangsa dirogol di bawah pokok kelapa kira-kira lima meter dari tempat dia digantung. Polis turut menemui sebotol arak dipercayai milik pembunuh di bawah pokok durian itu.

“Selain itu, polis turut menemui beberapa tiket bas di tempat kejadian. Kami akan menjalankan siasatan dengan syarikat bas terbabit bagi mendapatkan maklumat tambahan bagi membantu kes ini,” katanya.

Menurutnya, polis sukar mengenal pasti identiti mangsa berikutan wanita itu tiada kesan suntikan cacar di bahu dan tidak membawa dokumen pengenalan diri.

“Polis percaya mangsa dibunuh sekitar jam 3 pagi berikutan maklumat terdapat bunyi salakan anjing pada waktu itu.

“Saya meminta orang ramai dan penduduk setempat yang kehilangan ahli keluarga serta mempunyai maklumat segera menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bahru untuk dibedah siasat.

0 comments: