Wednesday, March 18, 2009

Tong buang bayi

Oleh Hadzlihady Hassan dan Iskandar Shah Mohamed
am@hmetro.com.my

Kejadian tahun lalu berulang semalam

KUALA LUMPUR: “Saya langsung tak menyangka rasa sedih dan geram ketika terjumpa janin pada tarikh sama tahun lalu berulang hari ini (semalam),” kata Saiful Bahari, 34.

Semalam, kira-kira jam 9 pagi, dalam tong sampah yang sama di Flet AU3/1 Taman Keramat di sini, dia yang hendak memungut sampah mengalami sekali lagi perasaan yang mahu dilupakan itu apabila menemui bukan satu, malah dua iaitu mayat bayi dan janin.

Pemandu lori syarikat pembersihan Mofalah Services itu berkata, dia memang mengesyaki bungkusan terbabit mengandungi bayi kerana pernah mengalami kejadian seperti itu.





“Saya terus membuka bungkusan itu dan telahan saya tepat apabila ia mengandungi mayat bayi lelaki sudah cukup sifat dan janin yang dibungkus dalam bungkusan surat khabar sama,” katanya yang ditemui di tempat kejadian, malam tadi.

Menurutnya, dia kesal dengan tindakan individu terbabit kerana tergamak membuang bayi yang disifatkannya sebagai langsung tidak bertanggungjawab.

“Biasanya, saya bercuti pada hari minggu, namun hari ini (semalam) saya tergerak hati untuk mengambil sampah di kawasan terbabit kerana tidak bertugas Khamis lalu kerana lori mengalami masalah.

“Jika tidak, mungkin mayat bayi dan janin itu sudah reput dan tiada sesiapa mengetahui kejadian terbabit,” katanya.

Sebaik membuka dan pasti bungkusan itu mengandungi mayat bayi dan janin, Saiful segera menghubungi polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin, ketika dihubungi berkata, beberapa anggota serta pegawai polis bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan daripada Saiful dan melakukan pemeriksaan lanjut

“Polis bagaimanapun belum mengenal pasti jantina janin itu dan percaya kedua-dua bayi itu baru dilahirkan sebelum ditinggalkan dalam tong sampah itu,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 315/318 Kanun Keseksaan dan kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Ampang untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-4252 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

0 comments: