Tuesday, March 17, 2009

Anak terkejut ibu mati terikat di katil

BANTING: Seorang anak yang ingin bersarapan pagi dengan ibunya terkejut apabila mendapati ibunya mati terbaring di atas katil dengan tangan dan kakinya terikat dipercayai menjadi mangsa samun dan bunuh di Jalan Talapia 9, Taman Seri Putra, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.35 pagi itu, mangsa, M Ramayaee, 70, yang juga pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Selangor dan tinggal berseorangan dikatakan diserang penyamun berdasarkan kesan luka di mulut selain tiga giginya patah manakala barang kemasnya hilang.

Ketika kejadian anak lelakinya, R Muthurajah, 24, yang bergilir-gilir bersama tujuh lagi adik beradiknya ke rumah ibunya untuk bersarapan bersama sebelum dia keluar berkerja, bagaimanapun terkejut selepas melihat ibunya dalam keadaan menyayat hati.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Radzi Ishak, berkata siasatan awal tidak menolak kemungkinan mangsa menjadi mangsa samun kerana seutas rantai dan sebentuk cincin yang dipakainya hilang.


“Berdasarkan keadaan mayat, polis percaya mangsa mati antara tiga hingga empat jam lalu sebelum mayatnya ditemui anaknya

“Ketika ditemui keadaan di dalam rumah agak berselerek, namun tiada barang lain dilaporkan hilang,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak mangsa dipercayai turut bergelut dengan suspek berdasarkan keadaan di dalam rumah selain beberapa kesan tompokan darah di atas tilam.

Polis meminta kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis terdekat atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dengan menghubung Rakan Cop di talian 03-21159999 bagi membantu siasatan.

“Polis juga belum mengenal pasti berapa suspek terbabit dalam kejadian ini dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya di sini, semalam.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Polis meminta kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis terdekat atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dengan menghubung Rakan Cop di talian 03-21159999 bagi membantu siasatan.

0 comments: