Thursday, March 19, 2009

Kepala ditoreh

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my

SHAH ALAM: “Ketika menuruni laluan berbukit saya hampir pitam selepas melihat mayat seorang lelaki dalam keadaan mengerikan. Saya bergegas turun dari lori dan memanggil dua rakan sebelum menghubungi polis,” kata pemandu lori kelapa sawit, Teoh Cheng Kooi, 56, yang menemui mayat seorang lelaki dipercayai mangsa pembunuhan di Ladang North, Hummock, Setia Alam di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mayat lelaki yang belum dikenal pasti indentiti dan warga negara itu dibunuh kejam apabila kepala dan mukanya ditoreh selain isi perutnya hampir terburai.

Teoh yang sudah lima tahun bekerja mengangkut buah sawit di situ berkata, ketika ditemui mayat itu dalam keadaan terlentang dan memakai baju biru dan seluar kelabu.

“Terdapat kesan darah di tempat kejadian. Bagaimanapun, saya tak berani lihat kerana ia amat mengerikan.


“Sejurus kemudian saya memanggil dua rakan saya, warga Indonesia yang sedang mengumpul buah sawit, kira-kira tiga meter dari tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, sehari sebelum kejadian, dia ke ladang terbabit dengan beberapa pekerja untuk mengait buah sawit dan semalam dia mengangkut buah itu untuk dihantar ke kilang di Kampung Budiman, Setia Alam.

“Kejadian ini pertama kali berlaku di sini dan ia amat menakutkan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Nor Azam Jamaluddin, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian itu jam 3 petang sebelum sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bergegas ke tempat kejadian.

“Ketika ditemui mayat itu masih elok dan kami tidak menolak ia mati beberapa jam sebelum ia ditemui pekerja ladang.

“Siasatan awal mendapati terdapat tiga kesan torehan di belakang kepala, muka dan perut, bagaimanapun, senjata yang digunakan tidak ditemui,” katanya.

Sepasukan polis dari Unit Forensik turut dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengumpul bukti berhubung pembunuhan itu.

Nor Azam berkata, identiti mangsa juga tidak dikenal pasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui di sisi mayat, malah beberapa pekerja ladang yang ditemui tidak pernah melihat si mati.

“Kami tidak menolak mangsa diserang lebih daripada seorang dan ia dipercayai berpunca daripada dendam.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh dan mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk bedah siasat,” katanya.

Polis meminta saksi kejadian menghubungi IPD Shah Alam atau balai polis berhampiran dengan menelefon Rakan Cop di 03-21159999 bagi membantu siasatan.

0 comments: