Wednesday, March 18, 2009

Meraung ditekap seterika panas

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

KUANTAN: “Dia (pelajar senior) terus menekap seterika panas itu pada tangan kanan saya hanya kerana enggan mengikut arahannya pergi membeli sebatang rokok di sebuah kedai di luar asrama.

“Saya menggelupur menahan kesakitan yang amat sangat dan tidak berani melawan kerana bimbang akan terus dicederakan,” kata pelajar tingkatan tiga, Muhammad Azwan Md Ribi, 15, yang mendakwa menjadi mangsa dera seorang pelajar tingkatan empat di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar Hilir di sini, petang Khamis lalu.

Menceritakan semula kejadian itu, Muhammad Azwan berkata, dia terserempak pelajar terbabit dikenali sebagai ‘Kong’ sebaik saja tiba di bilik menggosok pakaian.

Menurutnya, Kong yang ketika itu menyandar pada dinding memanggil dan memintanya membelikan sebatang rokok di sebuah kedai di luar asrama.

Katanya, berikutan keengganannya mematuhi permintaan Kong menyebabkan pelajar senior itu tiba-tiba naik minyak dan berang sebelum mencabut suis seterika.

“Saya tidak menduga dia sanggup bertindak ganas dengan menekap seterika panas itu pada tangan kanan saya menyebabkan meraung menahan kesakitan.

“Selepas menekap seterika panas itu, Kong mengugut saya supaya tidak menceritakan kejadian terbabit kepada guru jika tidak mahu dicederakan lagi.

“Saya tidak berani menceritakan kejadian itu kepada sesiapa hingga keesokan harinya (Jumaat) apabila seorang guru lelaki ternampak kesan cedera pada tangan kanan saya sebelum terpaksa menceritakan kejadian sebenar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Gambang di sini, semalam.

Berikutan kejadian itu, mangsa sudah membuat laporan di Balai Polis Paloh Hinai, Pekan, jam 12.11 tengah hari.

Susulan kejadian terbabit, Muhammad Azwan kini diberikan cuti sakit sejak kelmarin selepas menerima rawatan pesakit luar di Hospital Pekan (HP).

Menurutnya, dia kini masih trauma dan fobia untuk ke sekolah dan bercadang mahu bertukar ke sekolah lain bagi meneruskan pelajarannya selain memastikan keselamatan terjamin.

Bapa mangsa, Md Ribi Mohd Isa, 50, dan isteri, Wahidiyah Mak Lung, 46, berkata dia berharap tindakan sewajarnya diambil sebagai iktibar kepada pelajar lain supaya tidak bertindak sesuka hati.

Menurutnya, dia dan isteri dimaklumkan kejadian itu melalui seorang guru sekolah berkenaan sebelum bertemu anaknya, kira-kira jam 10 malam.

Katanya, luka akibat melecur pada tangan kanan anaknya itu semakin sembuh, tetapi dia masih sukar tidur kerana asyik teringatkan kejadian malang berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Menurutnya, polis menunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut berhubung kejadian itu.

0 comments: