Monday, March 16, 2009

Baling bayi

GEORGETOWN: Berang kerana tak tahan mendengar tangisan, seorang lelaki tergamak menghempaskan bayi perempuannya yang baru berusia empat bulan ke atas tilam, Ahad lalu.

Tindakan bapa panas baran itu di rumah sewa mereka di Kampung Masjid, Sungai Ara di sini, membawa padah apabila bayi tidak berdosa itu, Nurul Ain Amirah, yang menderita akibat perbuatan kejamnya meninggal dunia,awal pagi semalam.

Polis menahan lelaki itu selepas dia dan isteri membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, pagi semalam.

Wartawan yang mendapat maklumat mengenai kejadian itu bergegas ke tempat kejadian semalam tetapi keluarga mangsa sudah pulang ke Pendang, Kedah, untuk mengebumikan jenazah mangsa.

Namun, seorang jiran kepada keluarga itu, Rafiah Mahmood, 39, yang menjadi orang pertama mengesyaki kejadian memilukan itu dapat ditemubual.

Menurutnya, dia terdengar jeritan kuat diikuti suara ibu mangsa beristighfar dalam keadaan mencemaskan selepas solat Subuh, kelmarin.

Dia kemudian menyidai kain di luar rumah sebelum ibu bayi itu meluru keluar dari rumah dan memberitahu Nurul Ain diserang sawan tarik.

"Saya terus ke rumah mereka dan melihat Nurul Ain masih lagi bernyawa tetapi keadaannya cukup lemah dengan kedua-dua mata separuh tertutup dan tangannya kejang.

"Saya memegang tangan dan menggosok-gosoknya, namun tidak ada perubahan. Ketika itu, saya terlihat kesan lebam di kedua-dua pipi dan seluruh badannya. Apabila ditanya, si bapa mengaku dia mencubit dengan alasan geram kerana bayinya menangis setiap hari," katanya.

Rafiah berkata, pasangan terbabit kemudian membawa Nurul Ain menerima rawatan secara tradisional.
Sumber: Harian Metro

0 comments: