Sunday, March 22, 2009

Pura-pura tanya jalan sebelum gertak juruwang

BENTONG: Dua pekerja stesen minyak di Genting Sempah, di sini, terkejut apabila dua pelanggan yang mulanya bertanyakan arah jalan tiba-tiba mengacukan parang dan memaksa mereka menyerahkan wang dari laci juruwang, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, penyamun terbabit melarikan wang tunai RM2,000 selepas menggertak untuk mencederakan pekerja itu jika mereka ingkar arahan menyerahkan wang.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Rosli Abdul Rahman, berkata tiga lelaki yang menaiki kereta Proton Saga menghampiri stesen minyak itu sebelum dua daripadanya berpura-pura sebagai pelanggan dan masuk ke dalam premis itu untuk bertanya arah.

Menurutnya, secara tiba-tiba seorang daripada mereka mengeluarkan parang dan mengarahkan dua pekerja stesen minyak itu menyerahkan wang menyebabkan mangsa menggeletar takut serta akur arahan itu. kerana bimbang dicederakan.

“Seorang daripada penjenayah terbabit membuka sendiri laci juruwang dan mengambil semua wang berjumlah kira-kira RM2,000. Bagaimanapun, mereka tidak mengambil barang runcit di dalam premis itu.

“Kedua-dua penjenayah itu melarikan diri bersama seorang lagi yang sedia menunggu dalam kereta. Kejadian itu dimaklumkan kepada pengurus stesen minyak sebelum dia membuat laporan di Balai Polis Bukit Tinggi sejam kemudian,” katanya.

Sumber Harian Metro

0 comments: