Tuesday, March 17, 2009

pelajar mati dikelar

BENTONG: Seorang wanita yang berkunjung ke rumah ibunya di Kampung Ketari di sini, terkejut apabila menemui mayat adik perempuannya dalam keadaan terlentang dengan leher dikelar dipercayai menjadi mangsa pembunuhan kejam, kelmarin.

Mayat mangsa, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sulaiman di sini, Annie Kok Yin Cheng, 17, ditemui dalam biliknya jam 2 petang.

Ketua Polis daerah, Superintendan Rosli Abdul Rahman, berkata kakak mangsa berusia 20 tahun dan sudah berkahwin datang melawat adiknya yang tinggal bersama bapa tiri dan tiga saudara tiri manakala ibu mereka ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.

Menurutnya, kakak mangsa bersama suaminya memasuki rumah itu menggunakan kunci pendua sebelum ke bilik mangsa, tetapi didapati berkunci dari dalam.


“Kakak mangsa memanggil nama adiknya berulang kali sambil mengetuk pintu bilik, tetapi tidak bersahut sebelum wanita itu dan suaminya nekad memecahkan pintu bilik.

“Sebaik memasuki bilik itu, mereka terkejut apabila mendapati lantai bilik dipenuhi darah sebelum menemui mangsa dalam keadaan terlentang,” katanya.

Katanya, kakak mangsa segera memeriksa keadaan adiknya dan mendapati terdapat kesan kelar pada leher sebelum menghantar mangsa ke Hospital Bentong (HB), tetapi doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia beberapa jam sebelum mayatnya ditemui.

“Mangsa didapati meninggal dunia antara jam 1 pagi hingga jam 6 pagi dan dipercayai diserang penceroboh yang memasuki biliknya melalui tingkap berikutan polis menemui kesan umpil pada tingkap bilik.

“Malah, mangsa dipercayai turut bergelut dengan penyerangnya dalam usaha mempertahankan diri sebelum lehernya dikelar menggunakan objek tajam,” katanya.

Beliau berkata, polis masih menyiasat motif pembunuhan itu berikutan tiada barangan berharga yang hilang selain menolak kemungkinan mangsa cuba dirogol kerana tiada tanda penganiayaan seksual.

0 comments: