Saturday, March 21, 2009

Suspek bunuh ibu diburu

TANJUNG MALIM: Polis masih memburu suspek dipercayai membunuh ibunya sendiri, Yap Ah Moi, 73, di sebuah rumah di Jalan Ketoyong pada 12 Mac lalu dan percaya suspek masih berada di sekitar daerah itu selain tidak menolak kemungkinan berada di sempadan Selangor iaitu Hulu Bernam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Deputi Superintendan, Adzhar Othman, berkata suspek dipercayai mempunyai sumber kewangan bagi membolehkannya bergerak ke merata tempat di sekitar negeri ini.

Beliau ketika ditemui berkata, suspek, Wooi Kong Phey (gambar), 32, tinggal bersama ibunya dan baru keluar dari Hospital Bahagia pada 5 Mac lalu dan dipercayai sudah 52 kali keluar masuk hospital itu.

Dalam kejadian pada 12 Mac lalu, Yap dibunuh secara kejam apabila dijumpai tertiarap dalam bilik di rumahnya dengan kepala dan pergelangan tangannya putus.

Kejadian itu disedari anak perempuan mangsa, Wooi Siew Yong, 37, yang memeriksa ke rumah ibunya selepas curiga berikutan mangsa tidak berkunjung ke rumahnya setiap hari.

Adzhar berkata, sejurus tiba di tempat kejadian, mangsa meninggal dunia dan dipercayai dibunuh pada awal pagi kejadian dengan menggunakan senjata tajam.

Katanya, pihaknya menjumpai cangkul dan gergaji berlumuran darah di sebelah badan mangsa di dalam bilik rumah itu.

Mereka yang mempunyai maklumat berhubung suspek boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Wilson di talian 05-4528222 atau 017 51658879 dan balai polis berdekatan.

~Sumber Harian Metro

0 comments: