Thursday, March 19, 2009

Padah pemurah tak bertempat

Padah pemurah tak bertempat

KAJANG: Sikap pemurah tidak bertempat seorang wanita meminjamkan wang kepada rakan akhirnya memakan diri apabila dia dikatakan terpaksa membuat pinjaman daripada ceti haram untuk terus hidup selepas rakannya itu ghaib sejurus mendapat wang berkenaan.

Tindakan tidak bertanggungjawab rakannya itu menyebabkan mangsa kini tertekan selepas diburu ceti haram berkenaan.

Dia yang hilang pertimbangan dipercayai mengkelar kedua pergelangan tangannya mengakibatkan dia maut dipercayai akibat kehilangan banyak darah kesan kecederaan dialami.

Dalam kejadian jam 11 pagi kelmarin di Batu 19 Kajang, mayat wanita berusia 64 tahun itu ditemui anaknya ketika memeriksa bilik ibunya itu yang dikatakan berkunci dari dalam.

Mangsa dikatakan tidak bangun pada waktu pagi seperti biasa, serta tidak menyahut selepas beberapa kali dipanggil untuk sarapan pagi.

Menggunakan kunci pendua, anak mangsa kemudian berjaya membuka bilik berkenaan dan mendapati ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri serta katil dibasahi darah.

Timbalan Ketua Polis Daerah kajang Superintendan Toha Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

“Mangsa dikatakan mengalami masalah hutang serta mengalami tekanan akibat diburu ceti haram. Hasil siasatan mendapati mangsa mati akibat kehilangan banyak darah disebabkan kesan kelar pada pergelangan tangannya,” katanya.

Beliau bagaimanapun, enggan mengulas ketika ditanya berhubung butiran kejadian terbabit.

0 comments: