Sunday, March 22, 2009

Ujian DNA bagi kenal pasti mayat dalam tong

MUAR: Kehadiran satu keluarga beberapa jam selepas mayat seorang lelaki ditemui disimen di dalam tong di Rumah Mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), petang kelmarin, gagal merungkai misteri kes itu.

Walaupun ada kemungkinan kesan parut akibat pembedahan apendiks di perut mayat lelaki terbabit boleh membantu siasatan polis, tiada pengecaman dibuat sehingga semalam dan identiti mangsa belum dikenal pasti.

Sehubungan itu, polis menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap mayat ditemui di dalam parit di Kampung Parit Punggur Darat, Jalan Sri Tanjung, Jumaat lalu bagi mengenal pasti sama ada ia lelaki dilaporkan hilang dari rumahnya di Parit Jawa, sejak Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Lee Choon Guan, berkata siasatan awal mendapati mangsa lelaki Cina berusia awal 20-an dan sudah meninggal dunia beberapa hari sebelum mayatnya dijumpai berikutan keadaannya sudah mula reput serta berbau.

“Ujian DNA terpaksa dijalankan berikutan keluarga itu tidak dapat mengecam secara positif mayat dijumpai dalam tong itu adalah ahli keluarga mereka yang hilang.

“Kami terpaksa menunggu dua minggu lagi bagi pengesahan keputusan ujian DNA itu sambil meneruskan siasatan lanjut,” katanya.

Sumber Harian Metro

0 comments: